Filipina beri amaran penjara individu langgar perintah kuarantin

Pihak berkuasa Filipina memberi amaran akan mengenakan hukuman penjara kepada sesiapa sahaja yang melanggar protokol kuarantin Covid-19, ketika negara itu bersiap sedia menghadapi ancaman varian Omikron, dan jangkitan Covid-19 naik mendadak.

Amaran itu dikeluarkan setelah seorang rakyatnya yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) didakwa melanggar peraturan kuarantin dengan menghadiri parti di Kota Makati – sebahagian daripada wilayah Metro Manila dan hab kewangan negara itu – pada Disember, yang kemudian disahkan positif Covid-19 bersama tujuh daripada 15 kontak rapatnya.

Jurucakap Istana Presiden Karlos Nograles berkata pihak berkuasa telah melancarkan siasatan terhadap kes itu dan individu yang melanggar perintah kuarantin boleh dikenakan denda sehingga 50,000 peso Filipina (AS$1,000) atau sehingga enam bulan penjara.

“Jangan cuba berfikir untuk melanggar protokol kerana kami akan mengejar anda sehingga ke hotel.

“Disebabkan apa yang berlaku, kita akan pastikan apa sahaja undang-undang terpakai yang boleh dikuatkuasakan, akan dikuatkuasakan. Apa sahaja boleh didakwa dan sesiapa sahaja — kami akan dakwa.

“Dan bukan sahaja kes sivil perlu difailkan, tetapi juga pertuduhan jenayah akan difailkan terhadap mereka yang bertanggungjawab, termasuk pihak lain. Kami akan melakukan apa yang perlu untuk dijadikan contoh kepada semua,” katanya.

Pihak berkuasa juga dilaporkan telah mengesan seorang lagi pengembara dari AS yang didakwa melanggar protokol kuarantin selepas tiba di negara itu.

Polis kini akan melakukan pemeriksaan rawak di semua hotel kuarantin di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan pematuhan terhadap protokol kuarantin,” kata Kementerian Dalam Negeri.

Pelanggaran kuarantin berlaku ketika Filipina mencatatkan peningkatan mendadak dalam kes Covid-19. Timbalan Setiausaha Kesihatan Maria Rosario Vergeire berkata Filipina sekali lagi dianggap negara ‘berisiko tinggi’.

“Filipina kini diklasifikasi berisiko tinggi berbanding berisiko rendah pada minggu sebelumnya, menunjukkan kadar pertumbuhan positif dua minggu pada 222 peratus dan kadar jangkitan harian pada 1.07 kes bagi setiap 100,000 individu,” katanya.

Kadar harian kurang daripada satu biasanya bermakna tahap ancaman Covid-19 yang rendah. Kali terakhir Filipina diletakkan di bawah klasifikasi berisiko tinggi ialah antara Ogos dan Oktober 2021, apabila kepulauan itu mengalami lonjakan kes utama yang didorong oleh varian delta.

Varian delta masih membentuk sebahagian besar kes di Filipina, walaupun Omicron, yang menurut pakar adalah varian paling mudah berjangkit, diramalkan akan menjadi dominan dalam beberapa minggu akan datang.

Filipina setakat ini mengesan tiga kes tempatan dan 11 kes import varian omicron, manakala pegawai menyatakan bahawa kadar penggunaan penjagaan kesihatan kekal rendah. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR