FDA lulus vaksin Pfizer untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) hari ini memberi kebenaran penggunaan kecemasan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech, kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Kelulusan itu sekali gus menjadikan Pfizer-BioNTech sebagai vaksin pertama dibenar disuntik kepada kanak-kanak seawal usia lima tahun di negara itu.

Bagaimanapun, suntikan tidak akan dilaksanakan serta-merta kerana perlu menunggu cadangan daripada penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) – Jawatankuasa Penasihat Amalan Imunisasi – berhubung cara suntikan harus diberikan, yang akan diputuskan Selasa ini.

Pengarah CDC, Dr Rochelle Walensky, kemudian akan membuat keputusan muktamad mengenai penggunaan vaksin itu kepada kanak-kanak.

Keputusan FDA itu bakal menyaksikan 28 juta kanak-kanak AS, kebanyakannya telah kembali memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka, untuk mendapat perlindungan daripada virus Covid-19.

Kebenaran FDA itu susulan keputusan panel penasihat kerajaan yang terdiri daripada pakar perubatan bebas yang turut menyimpulkan manfaatnya kepada kesihatan kanak-kanak, mengatasi risiko yang diketahui. Berita berkaitan

Selepas sehari pembentangan dan perbahasan pada Selasa lalu, 17 panel akhirnya menyokong pemberian vaksin Pfizer kepada kanak-kanak seawal usia lima tahun, dan seorang berkecuali.

Hanya sedikit sahaja negara, termasuk China, Cuba dan Emiriah Arab Bersatu, setakat ini yang membenarkan suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak seawal usia lima tahun ke atas.

Vaksin Covid-19 Pfizer sebelum ini dibenarkan untuk kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 15 tahun serta belia dan individu dewasa 16 tahun ke atas.

FDA membenarkan hanya 10 microgram dos Pfizer diberikan kepada kanak-kanak, lebih rendah berbanding 30 microgram yang diberikan kepada remaja berusia 12 tahun dan ke atas.

Untuk suntikan kanak-kanak itu, FDA telah membenarkan versi baharu vaksin, yang menggunakan penimbal baharu dan membolehkannya disimpan dalam peti sejuk sehingga 10 minggu.

Setakat ini, kira-kira 58 peratus daripada populasi AS telah lengkap divaksinasi, ketinggalan berbanding negara lain seperti United Kingdom (UK) dan Perancis.

Analisis Pfizer yang dikeluarkan FDA menunjukkan keberkesanan vaksin mencapai 90.7 peratus dalam menghalang gejala Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR