
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan penggunaan kecemasan dos penggalak kedua bagi individu berusia 50 tahun dan ke atas, empat bulan setelah suntikan dos ketiga.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) pada Selasa (29 Mac) meluluskan dos penggalak kedua bagi dua vaksin Covid-19 yang paling biasa digunakan, untuk individu berumur 50 tahun dan ke atas, susulan data menunjukkan penurunan imuniti dan risiko yang dicetuskan oleh varian Omicron Covid-19.
FDA berkata penggalak baharu – suntikan pusingan keempat – vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna akan diberikan sekurang-kurangnya empat bulan selepas dos sebelumnya, bertujuan menawarkan lebih perlindungan terhadap jangkitan teruk dan kemasukan ke hospital.
FDA juga meluluskan doa penggalak kedua untuk golongan muda dengan sistem imun yang terjejas – mereka yang berumur 12 tahun ke atas bagi suntikan Pfizer-BioNTech dan 18 tahun ke atas (Moderna).
Kelulusan itu dibuat kerana sesetengah saintis membangkitkan kebimbangan tentang subvarian BA.2 Omicron yang lebih pantas menular daripada varian asal Omicron, yang telah mendorong lonjakan baharu kes Covid-19 di negara lain.
Kes Covid-19 di AS telah menurun secara mendadak sejak lonjakan pada Januari, tetapi menyaksikan peningkatan kecil sepanjang minggu lalu, menurut data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
“Walaupun EUA (kebenaran penggunaan kecemasan) ini akan membantu menangani keperluan semasa bagi sesetengah pihak, kami sedang berusaha gigih untuk membangunkan vaksin dikemas kini yang bukan sahaja melindungi daripada varian Covid-19 semasa, tetapi juga memberikan respons yang lebih tahan lama,” kata Ketua Eksekutif Pfizer Albert Bourla dalam satu kenyataan.
Pfizer dan BioNTech pada asalnya meminta dos penggalak seterusnya dibenarkan untuk individu berumur 65 tahun ke atas dalam penyerahan yang memetik data dikumpul di Israel, di mana penggalak kedua dibenarkan kepada individu berumur lebih 18 tahun.
Saintis dan pegawai telah membahaskan sama ada orang muda dan sihat memerlukan suntikan keempat. Kajian terhadap pekerja penjagaan kesihatan Israel mencadangkan bahawa dos keempat menambah sedikit perlindungan tambahan dalam kumpulan umur.
Pegawai pentadbiran Presiden AS, Joe Biden berkata AS pada masa ini mempunyai dos vaksin yang mencukupi untuk memenuhi permintaan bagi satu lagi suntikan penggalak kepada rakyatnya yang lebih tua, walaupun dana untuk tindak balas wabak AS telah habis.
Mereka mengatakan bahawa melainkan Kongres meluluskan lebih banyak perbelanjaan, kerajaan mungkin tidak akan dapat membayar untuk inokulasi masa depan, jika ia diperlukan, terutamanya jika vaksin perlu direka bentuk semula untuk menyasarkan varian baharu. – Reuters