FDA, CDC AS lulus dos penggalak Pfizer kepada remaja 16-17 tahun

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) pada Khamis memperluaskan kelayakan suntikan penggalak vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun.

Langkah itu dibuat susulan gesaan pakar kesihatan awam supaya rakyat AS mendapatkan suntikan ketiga kerana kebimbangan mengenai varian baharu Covid-19, Omicron.

FDA berkata agensi itu meminda kebenaran penggunaan kecemasan Pfizer Inc (PFE.N) dan vaksin BioNTech SE untuk membolehkan remaja berumur 16 dan 17 tahun menerima suntikan ketiga sekurang-kurangnya enam bulan selepas suntikan dos kedua.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS turut menandatangani kelulusan itu.

“Walaupun kami tidak mempunyai semua jawapan mengenai varian Omicron, data awal menunjukkan bahawa dos penggalak Covid-19 membantu memperluas dan mengukuhkan perlindungan terhadap Omicron dan varian lain,” kata Pengarah CDC Rochelle Walensky dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggalakkan semua remaja berumur 16 dan 17 tahun yang layak, untuk mendapatkan suntikan itu.

Kira-kira 4.7 juta remaja AS dalam kumpulan umur itu telah lengkap dicaksin dan lebih 2.5 juta daripada mereka telah melepasi tempoh enam bulan setelah suntikan kedua.

Hanya vaksin Pfizer/BioNTech telah dibenarkan untuk digunakan dalam kumpulan umur berkenaan.

Sesetengah saintis membangkitkan kebimbangan mengenai suntikan penggalak kerana peningkatan risiko kes keradangan jantung yang jarang berlaku terhadap lelaki muda yang telah dikaitkan dengan vaksin mRNA seperti suntikan Pfizer/BioNTech.

Semua individu dewasa AS pada masa ini layak mendapat suntikan penggalak bagi tiga vaksin Covid-19 yang dibenarkan.

Kebenaran diberikan FDA menyusul sehari setelah Pfizer dan BioNTech mengeluarkan data yang menunjukkan bahawa suntikan penggalak boleh menjadi kunci kepada perlindungan daripada jangkitan varian Omicron yang baaru dikenal pasti.

Setakat ini, CDC telah mengenal pasti kurang daripada 100 kes Omicron di AS, tetapi jumlah itu dijangka meningkat dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.

Sementara itu, jangkitan melibatkan varian Delta yang menjadi dominan, dan sangat mudah berjangkit serta boleh disebarkan oleh orang yang telah diberi vaksin sepenuhnya, menunjukkan peningkatan.

Kawasan di mana aktiviti telah berpindah ke dalam rumah ketika musim sejuk, seperti wilayah di Timur Laut, menyaksikan beberapa peningkatan terbesar dalam kes baharu, yang kini secara purata mencecah hampir 120,000 setiap hari. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR