Facebook mohon maaf sekat kandungan pro-Palestin

Beberapa hari setelah rejim Zionis Israel menghentikan pengeboman ke atas Semenanjung Gaza menerusi gencatan senjata, Facebook tampil memohon maaf kerana menyekat beberapa kandungan yang pro kepada perjuangan rakyat Palestin.

Permohonan maaf itu dibuat pada mesyuarat maya antara pasukan Facebook diketuai Naib Presiden bagi Hal Ehwal Global, Nick Clegg dan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh.

Memetik laporan media antarabangsa, eksekutif kanan Facebook meminta maaf kepada Mohammad setelah aduan rasmi dibuat kepada syarikat itu bahawa laporan berkaitan Palestin ketika konflik dengan rejim Israel, telah disekat.

Pegawai Palestin yang turut serta dalam mesyuarat itu meninggalkan pertemuan berkenaan dengan anggapan bahawa Facebook telah mengakui terdapat masalah dengan algoritma mereka dan berjanji akan memperbaikinya, kata Ketua Misi Palestin ke United Kingdom, Husam Zomlot.

Ketika ketegangan meningkat antara rejim Zionis Israel dan pejuang Palestin awal bulan ini, Instagram yang dimiliki Facebook turut menyekat akses ke siaran dan hashtag berbahasa Arab yang menyebutkan Masjid Al-Aqsa.

Instagram dilaporkan menarik keluar sebarang perkataan yang menyebut ‘Al-Aqsa’, tatkala polis rejim Zionis Israel bertempur dengan penunjuk perasaan di masjid ketiga suci umat Islam itu.

Bagaimanapun, setelah gencatan senjata itu dicapai, Instagram kemudian memuat naik semula banyak catatan yang menyebut ‘Al-Aqsa, sambil mendakwa tindakan sekatan itu ‘tidak disengajakan’.

Husam berkata, Clegg mengakui bahawa Facebook secara tidak tepat melabelkan kata-kata tertentu yang biasa digunakan oleh rakyat Palestin, termasuk ‘mati syahid’ dan ‘perjuangan’ sebagai menghasut keganasan.

“Mereka berjanji akan meninjau dan menilai kembali kerangka kerja mereka,” kata Husam. Mesyuarat itu juga dihadiri oleh Naib Presiden Facebook untuk dasar awam global, Joel Kaplan, dan ketua dasar Timur Tengah dan Afrika Utara, Azzam Alameddin.

Sebelum ini, aktivis di seluruh dunia mendakwa Facebook secara sistematik melakukan penindasan terhadap hak rakyat Palestin untuk bersuara, terutama ketika serangan besar-besaran dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke aytas Semenanjung Gaza bermula 10 Mei lalu.

Dalam konflik 11 hari itu, sekurang-kurangnya 219 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, terbunuh manakala lebih 1,500 lagi cedera.

Sementara itu aktivis pro-Palestin menyelaraskan kempen untuk menurunkan penilaian semakan aplikasi Facebook sebagai membantah tapisan yang dilakukan terhadap akaun dan siaran rakyat Palestin.

Kempen itu, yang dikongsi di laman media sosial, termasuk Twitter dan Facebook, meminta orang ramai untuk memberikan ulasan satu bintang kepada Facebook di laman aplikasi Apple dan Google.

Facebook, Twitter dan beberapa rangkaian media sosial lain, sejak bertahun lalu telah dituduh mengenakan tapisan terhadap suara rakyat Palestin dengan memadam kiriman dan akaun pihak pro-Palestin. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR