EURO 2020: Pertemuan Belgium, Itali esok lebih menarik perhatian

Jadual suku akhir EURO 2020.

Pertembungan Belgium dan Itali pada jam 3 pagi esok (Sabtu) bakal menjadi tumpuan seluruh peminat EURO 2020 kerana dianggap sengit, masing-masing tidak pernah kalah dalam semua perlawanan sejak pusingan awal kumpulan masing-masing.

Itali yang dianggap salah satu pasukan terbaik dunia pernah menang Piala Dunia sebanyak empat kali, manakala Belgium tidak pernah membawa pulang Piala Jules Rimet itu, tetapi melayakkan diri sebanyak 12 kali pada kejohanan itu.

Pada pertaruhan dalam Kumpulan A EURO 2020, Itali mengumpul sembilan mata penuh apabila menang semua tiga pertemuannya dengan Wales, Switzerland dan Turki, sebelum menundukkan Austria pada pusingan kalah mati untuk mara ke suku akhir.

Digelar ‘Red Devils’, Belgium juga tidak ketinggalan apabila menduduki tangga teratas Kumpulan B apabila menang semua perlawanan pusingan awal.

Tiga perlawanan diharungi dengan mengalahkan Russia 3-0, Denmark 2-1, dan Finland 2-0.

Namun, sejarah pertemuan kedua-dua pasukan itu lebih memihak kepada Itali yang menang 14 perlawanan, seri empat kali dan kalah empat permainan.

Dalam semua pertemuan itu Itali menjaringkan 43 gol sementara Belgium pula 24.

Bagi Itali, gandingan dua ayam tambatan mereka Manuel Locatelli yang bermain di posisi tengah, dan Lorenzo Insigne sebagai barisan hadapan pasti menggerunkan lawan dengan kelincahan dan kemampuan menjaringkan gol.

Namun, penonton tidak boleh mengetepikan kesebelasan Belgium yang pastinya bergantung kepada pemain berusia 28 tahun, Romelu Lukaku untuk melukai skuad Gli Azzurri.

Penyerang Inter Milan itu berada pada kedudukan kedua penjaring terbanyak Serie A musim ini dengan 24 gol, selepas menamatkan musim bersama Everton pada 2016-2017 dengan 25 gol.

Justeru, tidak boleh diketepikan apabila dikatakan salah satu daripada dua pasukan itu mampu pulang dengan gelaran juara seluruh Eropah.

Penentuan siapa yang akan bertemu satu lagi pasukan antara Switzerland dan Sepanyol, akan berlangsung di Arena Bolasepak Munich di Jerman, jam 3 pagi esok (waktu Malaysia).

POPULAR