EU syor vaksin keempat hanya kepada individu 80 tahun ke atas

Pihak berkuasa kesihatan awam Eropah berkata dos keempat vaksin Covid-19 perlu hanya diberikan kepada orang dewasa berumur 80 tahun ke atas buat masa ini, sambil menyatakan tiada bukti jelas untuk menyokong dos penggalak kedua untuk golongan muda.

Agensi itu tidak menolak dos keempat pada masa hadapan untuk individu yang sihat berumur 60 hingga 79 tahun dan akan terus memantau pandemik Covid-19 bagi mengedan tanda-tanda sekiranya dasar itu perlu diubah.

Tiada tanda bahawa perlindungan vaksin terhadap jangkitan teruk telah menurun dengan ketara dalam kumpulan umur itu di Kesatuan Eropah, kata pegawai.

“Memandangkan kempen vaksin semula boleh bermula pada musim luruh, pihak berkuasa akan mempertimbangkan masa terbaik untuk dos tambahan, mungkin mengambil kesempatan daripada vaksin yang dikemas kini,” jelas Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) dalam satu kenyataan pada Rabu (6 April).

Kedua-dua agensi itu berkata mereka telah menyemak data dos keempat yang dibuat oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna Inc, termasuk kajian dunia nyata dari Israel, di mana penyelidikan telah menunjukkan bahawa penggalak kedua hanya memberikan perlindungan yang lebih tinggi sedikit sahaja.

“Bagi orang dewasa yang berumur di bawah 60 tahun tanpa masalah kesihatan yang mendasari, pada masa ini tiada bukti muktamad bahawa perlindungan vaksin terhadap penyakit teruk semakin berkurangan atau terdapat nilai tambah bagi keperluan dos keempat,” kata EMA dan ECDC.

Pihak berkuasa di peringkat kebangsaan mempunyai kelonggaran untuk membuat keputusan mereka sendiri sama ada akan memberikan satu lagi suntikan kepada individu yang berisiko tinggi.

Langkah itu dibuat ketika negara-negara di seluruh dunia mempertimbangkan sama ada dos vaksin berikutnya diperlukan, dan untuk siapa.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) telah membenarkan dos penggalak tambahan untuk individu dewasa berumur 50 tahun ke atas bulan lepas.

Di Israel, yang mula menawarkan dos keempat pada awal Januari, satu kajian menunjukkan suntikan tambahan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan dan penyakit yang teruk.

Cadangan kedua-dua agensi itu menyusul langkah banyak negara di seluruh dunia telah menghapuskan hampir semua sekatan Covid-19 dan sedang memerangi lonjakan penyakit yang didorong oleh subvarian BA.2 Omicron yang mudah berjangkit.

Jangkitan varian yang lebih ringan tidak menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian seperti dalam gelombang sebelumnya dan pihak berkuasa di banyak negara berharap kadar imunisasi mereka yang tinggi akan mengelakkan sebarang gangguan besar kepada masyarakat. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR