EU mungkin lulus Pfizer untuk suntikan penggalak

Pengawal ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) mungkin membenarkan vaksin Pfizer digunakan sebagai dos penggalak, tetapi dengan menyediakan garis panduan mengenai siapa yang sepatutnya menerima suntikan itu, menurut dokumen dalaman dan pengesahan dua pegawai.

Sekiranya, Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) memberi kelulusannya, semua 27 anggota blok EU akan menyertai Amerika Syarikat (AS), Britain dan Israel yang sudah memberi lampu hijau kepada suntikan dos penggalak, walaupun tanpa persetujuan saintis.

“Pada 4 Oktober ini EMA akan memberi pendapatnya berkaitan keperluan dos penggalak Pfizer kepada umum,” kata Ketua EMA, Emer Cooke ketika mesyuarat dengan anggota Parlimen EU.

Setakat ini, lebih 10 negara anggota EU mula memberikan dos penggalak kepada rakyat masing-masing, tanpa sokongan rasmi EMA.

Kebenaran rasmi diperlukan bagi menyediakan perlindungan undang-undang kepada negara berkenaan selain menjadi motivasi kepada negara lain untuk melaksanakan program dos penggalak bagi memerangi penularan varian Delta.

Dua pegawai EU yang tidak mahu disiarkan nama mereka memberitahu agensi berita Reuters, EU akan berbincang mengenai keberkesanan suntikan dos penggalak dan beberapa isu lain.

Pendekatan juga selaras dengan keputusan EMA sebelumnya mengenai pandemi Covid-19. Contohnya, sebahagian besar keputusan diserahkan kepada negara-negara anggota untuk memutuskan tindakan dalam menghadapi kemungkinan kesan sampingan.

Panduan yang luas akan membolehkan negara-negara anggota EU untuk menyesuaikan penggunaan penggalak dengan keperluan nasional, tanpa mengambil risiko menggunakannya melebihi garis panduan yang dibenarkan oleh EMA.

Ogos lalu, EMA berkata tidak ada data mencukupi untuk mencadangkan penggunaan vaksin penggalak, manakala Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO) pula menggesa pemberian dos penggalak dihentikan sehingga lebih ramai penduduk dunia lengkap divaksin.

“Tiada keperluan suntikan penggalak secara umum, tetapi ada sedikit kesan terutama kepada individu lebih tua,” kata Cooke.

Minggu lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS meluluskan penggunaan vaksin penggalak Pfizer hanya kepada individu berusia 65 tahun ke atas, kumpulan berisiko tinggi dan kakitangan barisan hadapan yang terdedah kepada virus Covid-19.

Saintis sebelum ini berbeza pendapat mengenai suntikan dos penggalak kerana secara keseluruhannya belum ada data jelas menunjukkan tempoh masa perlindungan yang diberikan vaksin dua dos atau dos tunggal.

Bagaimanapun, negara-negara EU sudah mula membeli bekalan tambahan untuk melaksanakan suntikan penggalak. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR