EU luluskan vaksinasi kepada kanak-kanak 5-11 tahun

Kesatuan Eropah (EU) meluluskan suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer kepada golongan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun secara berperingkat, untuk mencegah penularan virus tersebut.

Ketua Strategi Vaksin di Agensi Perubatan Eropah (EMA), Marco Cavaleri memaklumkan bermula hari ini, vaksin jenis Comirnaty itu sudah diluluskan penggunaanya kepada golongan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

“Ia akan digunakan dalam dos yang lebih rendah berbanding dos kepada golongan dewasa,” katanya dalam mesyuarat awam secara dalam talian.

Sehingga kini, hanya beberapa buah negara sahaja yang memberi persetujuan untuk vaksinasi Covid-19 kepada golongan lebih muda, termasuk Amerika Syarikat (AS), Israel dan Kanada.

Jelasnya, suntikan vaksin ini didapati berkesan sehingga 90.7 peratus dalam satu kajian melibatkan 2,000 kanak-kanak pada peringkat umur itu.

Selain itu, kesan sampingan yang diperoleh biasanya hanya bersifat ringan atau sederhana bagi tempoh beberapa hari, termasuk rasa sakit di kawasan suntikan, keletihan, sakit kepala, sakit otot dan menggigil.

Sebelum ini, EMA membuat kesimpulan bahawa kebaikan Comirnaty pada golongan ini melebihi risiko terutama bagi mereka yang mempunyai potensi dijangkiti Covid-19.

Tetapi, risiko keselamatan suntikan vaksin Pfizer kepada golongan ini perlu terus dipantau dan diteliti dengan sebaiknya.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, sejak akhir-akhir ini golongan umur ini dikesan menyumbang kepada lonjakan kes baharu dan kemasukan ke hospital di Eropah sejak ianya kembali menjadi pusat pandemik Covid-19.

Golongan kanak-kanak juga dianggap sebagai pembawa utama jangkitan Covid-19 walaupun mereka tidak memiliki sebarang gejala.

Sejak awal minggu lalu, Belanda menunjukkan peningkatan terbesar kes melibatkan golongan kanak-kanak berumur sehingga 12 tahun.

“Walaupun jangkitan yang teruk dan kematian agak kurang dilaporkan berlaku dalam golongan umur itu, namun penyakit yang menyebabkan jangkitan kritikal banyak berlaku pada peringkat umur itu.

“Penularan yang tinggu juga mengakibatkan kenaikan kemasukan ke hospital dalam golongan umur itu dari semua peringkat umur,” jelasnya.

Sementara itu, EMA kini sedang mengkaji vaksin Covid-19 jenis Moderna untuk golongan kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun dan keputusannya akan diperoleh selewat-lewatnya Januari ini.

Sehingga kini, pengawal selia sudah meluluskan empat jenis vaksin untuk kegunaan golongan dewasa di EU iaitu, Pfizer, Moderna, serta AstraZeneca dan Johnson & Johnson yang menggunakan teknologi vektor virus.

BERITA BERKAIT
POPULAR