
Askar upahan Israel didakwa membantu tentera Ukraine yang sedang berperang dengan tentera Rusia. - Gambar AFP
Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran akan mengehadkan akses Moscow kepada pasaran kewangan dan barangan berteknologi tinggi sekiranya Russia menyerang Ukraine, kata seorang pegawai tinggi EU pada Sabtu.
Kenyataan daripada Ketua Suruhanjaya Eksekutif EU, Ursula von der Leyen, menyusul ketegangan mengenai niat Russia untuk menyerang Ukraine yang semakin memuncak.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Jumaat yakin bahawa Presiden Russia Vladimir Putin telah memutuskan untuk menyerang negara jiran itu.
“Pemikiran berbahaya Kremlin, yang datang terus dari masa lalu yang gelap, mungkin menjejaskan masa depan Russia yang makmur,” kata Von der Leyen pada Sabtu ketika Persidangan Tahunan Keselamatan Munich, di mana Naib Presiden AS Kamala Harris turut berucap.
Von der Leyen berkata cabang eksekutif EU telah menyediakan pakej yang mantap dan komprehensif, termasuk kemungkinan sekatan kewangan terhadap Russia.
“Sekiranya Rusia menyerang, kami akan mengehadkan akses kepada pasaran kewangan untuk ekonomi Russia dan (mengenakan) kawalan eksport yang akan menghalang kemungkinan untuk Moscow memodenkan dan mempelbagaikan ekonominya.
“Dan kami mempunyai banyak barangan berteknologi tinggi di mana kami mempunyai penguasaan global, dan itu sangat diperlukan oleh Russia dan tidak boleh diganti dengan mudah,” katanya.
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata, United Kingdom (UK) sedang menyelaraskan sekatannya secara rapat dengan EU.
“Jika Moscow menyerang jirannya, kami akan menyekat individu dan syarikat Russia yang mempunyai kepentingan strategik dan akan menyukarkan mereka untuk menyertai sistem kewangan di pasaran modal London,” kata Johnson di Munich.
Johnson menambah bahawa pihak berkuasa akan mencari benefisiari utama syarikat dan entiti milik Russia. – Agensi