England, Wales catat 137,583 kes baharu, 73 kematian akibat Covid-19

England dan Wales melaporkan 137,583 kes baharu Covid-19 dan 73 kematian berkaitannya dalam tempoh 24 jam terkini, menurut data rasmi kerajaan.

Angka terkini bermakna lebih 1.1 juta individu telah disahkan positif menerusi keputusan ujian Covid-19 antara 27 Disember 2021 dan 2 Januari 2022 – peningkatan 43 peratus berbanding tujuh hari sebelumnya.

Data itu juga menunjukkan bahawa 981 kematian dalam tempoh 28 hari selepas ujian positif direkodkan sepanjang minggu lalu – peningkatan 50 peratus berbanding tujuh hari sebelumnya.

Bagaimanapun, data minggu ini telah memasukkan kes tertunggak dan jumlah kematian yang tidak dilaporkan sepenuhnya ketika Krismas.

Ia berlaku selepas England melaporkan rekod tertinggi 162,572 kes baharu Covid-19 pada hari pertama Tahun Baharu 2022.

Data terbaharu menyusul setelah pengumuman supaya semua pelajar sekolah di England sekali lagi diminta memakai pelitup muka di dalam kelas masing-masing bagi mengurangkan peningkatan jangkitan, khususnya disebabkan varian paling cepat menular – Omicron.

Kerajaan juga dilaporkan sedang merangka pelan kontingensi kerana bimbang satu perempat pekerja sektor awam mungkin tidak hadir akibat gelombang Omicron.

Angka pada Sabtu menunjukkan kemasukan ke hospital di England akibat Covid-19 meningkat ke tahap tertinggi sejak Januari 2021, manakala bilangan kakitangan hospital yang tidak hadir akibat virus itu hampir dua kali ganda dalam sebulan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR