England ke separuh akhir bertemu Denmark

England melangkah bergaya ke separuh akhir apabila menundukkan Ukraine empat gol tanpa balas pada pertemuan suku akhir di Stadio Olimpico, Rome, Itali, pagi ini.

Harry Kane mencipta rekod EURO 2020 apabila menjadi penjaring gol terpantas pada minit ke 4, susulan gerakan cantik dari sebelah kiri England, dengan penyerang Manchester City, Raheem Shaquille Sterling bergandingan bersama sayap kiri Manchester United, Luke Shaw, sebelum dia membuat hantaran kepada Kane untuk menerjah bola ke gol Ukraine.

Gol awal itu membuatkan Ukraine tersentak di samping melakukan beberapa asakan berbahaya ke pintu gol England.

Pemain pertahanan England, Kyle Walker melakukan kesilapan memberikan Ukraine peluang, tetapi gagal dimanfaatkan. Sepakan rendah Roman Yaremchuk ke kiri gawang diselamatkan Jordan Pickford.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga separuh masa tamat dengan secara keseluruhannya England mengawal permainan, sementara Ukraine lebih banyak bertahan asakan bertubi-tubi lawan, terutama daripada pemain lincah England Sterling dan Shaw.

Carta separuh akhir

Separuh masa kedua bermula, dan sebagaimana permulaan awal, England membuat kejutan sekali lagi pada minit 48 apabila Harry Maguire menanduk masuk bola selepas mendapat hantaran Shaw.

Gandingan Shaw dan Sterling memang menjadi. Kedua-duanya memberi amaran kepada Denmark pada separuh akhir, jam 3 pagi Khamis depan di Stadium Wembley, England.

Selang beberapa minit selepas jaringan Maquire, Sterling membiarkan Shaw berlari ke kiri England dan melakukan hantaran, sebelum sayap kiri United itu melambungkan bola kepada Kane yang mudah menanduk bola ke gawang lawan pada minit 52 menjadikan kedudukan 3-0.

Pada minit ke 65, Jordan Henderson pula mengambil giliran untuk menghukum kesebelasan Ukraine apabila menanduk masuk bola ke gawang Ukraine, menjadikan kedudukan 4-0.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus membawa England untuk bertemu Denmark di gelanggang sendiri pada pertemuan separuh akhir nanti.

Terdahulu Denmark menundukkan Republik Czech 2-1.

BERITA BERKAIT
POPULAR