England, Belanda tarik balik larangan Covid-19, EU menyusul

January 27, 2022 · Dunia

England hari ini menarik balik larangan yang dikenakan untuk menangani varian Omicron, dengan pelitup muka tidak lagi diperlukan di tempat tertutup sementara ‘pasport vaksin’ untuk memasuki mana-mana premis tidak lagi diperlukan.

Ia dibuat menyusul tindakan sama dilakukan Belanda yang menarik balik protokol paling ketat – Denmark akan mengikut jejak beberapa hari lagi, dan Perancis pula akan berbuat demikian minggu depan – setelah kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) memilih untuk ‘membebaskan’ rakyat mereka daripada cengkaman peraturan.

Bilangan kes positif Covid-19 di England menurun secara mendadak sejak dua minggu lalu dan walaupun kadar kebolehjangkitan masih pada tahap yang tinggi.

Kerajaan Britain memperkenalkan apa yang dipanggil sekatan “Pelan B” pada 8 Disember lalu, selepas Perdana Menteri Boris Johnson memberi amaran tentang “gelombang pasang surut” Omicron.

Arahan pemakaian pelitup muka di semua ruang tertutup, sementara penggunaan ‘pasport vaksin’ diperlukan untuk memasuki mana-mana premis, seperti kelab malam, stadium dan acara berskala besar, kini ditarik balik.

Di Belanda, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi semakin kurang, manakala kes kematian juga menurun.

Menteri Kesihatannya, Ernst Kuipers berkata keputusan untuk memanjangkan langkah sekatan akan berisiko “memudaratkan kesihatan kita dan masyarakat kita”.

Kafe, bar dan restoran ditutup sejak pertengahan Disember kini boleh dibuka semula dengan kapasiti yang dikurangkan dan sehingga jam 10 malam selagi pelanggan mempunyai pas Covid-19, dengan pawagam, teater, muzium dan acara sukan juga dibenarkan.

Kerajaan Denmark, yang dua minggu lalu membenarkan pawagam dan tempat muzik dibuka semula selepas penutupan sebulan, juga mengumumkan pada rancangan untuk membatalkan langkah kawalan Covid-19 domestik mulai 1 Februari.

Pas vaksin yang digunakan untuk memasuki premis juga tidak lagi diperlukan, dan penumpang pengangkutan awam boleh melakukan perjalanan tanpa memakai pelitup muka.

Seperti Belanda, Denmark telah mencatat rekod tertinggi jangkitan harian baru-baru ini secara berturut-turut. Tetapi sementara kemasukan ke hospital berkaitan Covid-19 telah meningkat, pihak berkuasa kesihatan mengatakan 30 hingga 40 peratus pesakit dengan ujian positif berada di hospital atas sebab selain Covid.

“Terdapat pemisahan dalam trend sebelum wabak, antara peningkatan jangkitan dan peningkatan kemasukan ke hospital disebabkan Covid,” kata panel penasihat kerajaan. Bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi juga sudah tinggal separuh sejak awal Januari lalu.

Minggu lalu, Belgium mengumumkan memberi sedikit kelonggaran mulai Jumaat walaupun terdapat rekod jangkitan, dengan bar dan restoran dibenarkan terus dibuka sehingga tengah malam sementara aktiviti sukan dalaman seperti bowling dibuka semula.

Pakar virologi Steven Van Gucht berpendapat gelombang semasa Omicron di Belgium tidak akan memuncak dalam tempoh dua minggu namun kemasukan ke hospital dijangka bertambah tetapi secara perlahan.

Perancis semalam mencatat jangkitan harian tertinggi apabila merekodkan 501,635 kes, namun sementara kemasukan ke hospital meningkat, hanya separuh sahaja pesakit dirawat di unit rawatan rapi berbanding gelombang sebelum ini, dan jumlahnya juga semakin menurun.

Susulan itu, Perdana Menteri, Jean Castex, minggu lalu mengumumkan langkah untuk menarik balik sekatan Covid mulai 2 Februari ini. – Agensi

Berita berkaitan
Radzi berharap Dr Noor Hisham terus menyumbang kepada negara
June 3, 2023· Isu semasa
Tuaran dikategori zon merah Covid-19 selepas kes meningkat
May 16, 2023· Isu semasa
Penduduk Malaysia dianggar 33.2 juta : Jabatan Perangkaan
May 11, 2023· Isu semasa
Kemasukan hospital pesakit Covid-19 meningkat: KKM
May 5, 2023· Isu semasa
Popular
Singapura rekod suhu terpanas dalam tempoh 40 tahun
May 14, 2023
Selepas kalah PRU, PM Thailand janji akan berundur secara baik
May 16, 2023
Angka terbaharu korban gempa berkembar Turkiye, Syria lepasi 7,800
February 8, 2023
Singapura beri amaran kesan buruk, eraksi berpanjangan kopi Pejuang
May 26, 2022
Lagi Dunia terkini
Biden tersungkur pada majlis konvokesyen tentera udara
June 2, 2023 · Dunia
Erdogan pertahan jawatan Presiden Turkiye
May 29, 2023 · Dunia
Montana jadi negeri pertama di Amerika haramkan TikTok
May 18, 2023 · Dunia
Selepas kalah PRU, PM Thailand janji akan berundur secara baik
May 16, 2023 · Dunia
Rakyat Thailand mula mengundi hari ini
May 14, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Zahid sebak laungan bebas Bossku bergema depan Anwar
13 jam lalu
[VIDEO] Pemuda menangis teruk Najib dapat anugerah
June 8, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok