Enggan divaksin: Singapura beri cuti tanpa gaji kepada kakitangan awam

Pemerintah Republik Singapura akan memberi cuti tanpa gaji kepada kakitangan awamnya yang enggan mengambil vaksin Covid-19 mulai 1 Januari tahun depan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) negara itu juga tidak akan menyambung kontrak pekerja yang enggan divaksinasi apabila ianya berakhir, sebagai jalan terakhir memastikan semua kakitangannya menerima suntikan vaksin.

PSD dalam kenyataannya bagaimanapun berkata pihaknya akan melakukan yang terbaik untuk membenarkan kakitangan yang tidak divaksin bekerja dari rumah mulai 1 Januari 2022, jika kerja itu boleh dilakukan dari jauh.

“Pegawai yang masih tidak mengambil vaksin walaupun layak dari segi perubatan, juga dibenarkan kembali bekerja di pejabat sekiranya mereka menjalani ujian saringan bersekala dengan kos sendiri.

“Kakitangan yang tidak divaksinasi boleh ditukarkan untuk melakukan tugas di rumah, jika ada pekerjaan sedemikian dengan imbuhan sepadan dengan tanggungjawab pekerjaan alternatif,” kata jurucakap PSD.

Tetapi mereka yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksin walaupun layak dari segi perubatan dan tidak boleh ditukar tugas akan diberikan cuti tanpa gaji atau kontrak mereka tidak dilanjutkan.

Bulan lalu, pasukan petugas Covid-19 pelbagai agensi mengumumkan hanya kakitangan yang lengkap divaksin atau mereka yang sembuh daripada Covid-19 selepas 270 hari dibenar untuk bekerja di pejabat mulai 1 Januari 2022.

Singapura mempunyai kira-kira 153,000 kakitangan, dengan 98 peratus telah divaksin. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR