Enam cedera kereta rempuh penonton pameran permotoran

Sekurang-kurangnya enam cedera dan dikejarkan ke hospital setelah sebuah kereta yang dipandu laju gagal dikawal dan merempuh penonton pada pertunjukan permotoran di Oslo, Denmark, pada Ahad (24 April).

Polis pada mulanya menulis di Twitter bahawa enam penonton, termasuk kanak-kanak, telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, tetapi kemudian berkata jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana sesetengahnya pergi sendiri ke hospital.

Punca kemalangan belum diketahui serta-merta. Ia berlaku pada pameran permotoran yang diadakan di tempat letak kereta di luar trek lumba kuda.

Rakaman video menunjukkan sebuah kereta mengundur pada kelajuan tinggi, dengan pemandu kelihatan hilang kawalan apabila kereta itu membelok ke arah orang ramai yang berdiri di sebelah tempat letak kereta.

“Kecederaan itu serius untuk sekurang-kurangnya salah seorang daripada mereka. Saya tidak mempunyai butiran lain mengenai kecederaan itu,” kata ketua polis Thomas Broberg kepada pemberita.

Beliau berkata polis telah mendapatkan maklumat daripada pemandu kereta itu dan mempunyai “teori” tentang punca kemalangan tetapi berkata siasatan akan mengambil masa.

Sebahagian daripada yang cedera adalah kanak-kanak, tambah Broberg. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR