Empat ekor singa di Zoo Singapura positif Covid-19

Empat ekor singa di Zoo Singapura disahkan positif Covid-19, kata Agensi Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) negara itu, semalam.

Menurut AVS, keempat-empat singa Asia di Safari Malam, selain seekor singa Afrika menunjukkan gejala ringan jangkitan termasuk batuk, bersin dan lesu sejak Sabtu dan Isnin.

Virus itu kemudian menjangkiti kakitangan Kumpulan Hidupan Liar Mandai yang disahkan positif Covid-19. AVS, yang berada di bawah Lembaga Taman Negara, menguji sampel daripada keempat-empat singa Asia, yang kembali positif.

Ujian diteruskan ke atas singa Afrika yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti.

AVS telah mengeluarkan arahan kepada Kumpulan Hidupan Liar Mandai supaya semua sembilan singa Asia dan lima singa Afrika di zoo itu dikuarantin.

“Kami bekerjasama dengan kumpulan itu untuk memantau kesihatan semua singa berkenaan dan ujian saringan akan dilakukan terhadap singa yang lain,” kata AVS dalam kenyataan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) sehingga kini tidak ada bukti haiwan memainkan peranan penting dalam menyebarkan wabak itu kepada manusia, walaupun terdapat kes sporadik dan laporan di negara lain mengatakan haiwan dijangkiti Covid-19 setelah menjadi kontak rapat kepada individu disahkan positif.

Naib Presiden Pemuliharaan, Penyelidikan dan Perkhidmatan Veterinar Kumpulan Mandai, Dr Sonja Luz berkata pameran singa Asia di sepanjang laluan trem dalam Safari Malam telah ditutup sejak Ahad selepas singa itu diuji positif.

“Terdapat bukti di mana haiwan secara umumnya tidak mengalami sakit yang teruk akibat virus itu.

“Kami menjangkakan bahawa semua singa itu akan pulih sepenuhnya dengan rawatan sokongan kecil. Bagaimanapun, ubat antiradang dan antibiotik mungkin diberikan jika rawatan lanjut diperlukan,” katanya.

Bulan lalu, 11 singa Afrika di Zoo Denver di Amerika Syarikat diuji positif varian Delta. Tidak jelas bagaimana jangkitan telah berlaku.

Seekor singa betina berusia sembilan tahun di sebuah zoo di Chennai, India, mati pada awal Jun akibat jangkitan Covid-19, lapor media tempatan.

Haiwan itu adalah antara sembilan singa yang telah diuji positif Covid-19, dengan dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal, lapor The New Indian Express ketika itu. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR