
Foto dirakam pada 6 Jun 2021 menunjukkan calon Presiden Iran Ebrahim Raisi memberi isyarat ketika perhimpunan kempen pilihan raya di kota Eslamshahr. - Gambar AFP
Belum lagi mengangkat sumpah sebagai Presiden Iran yang baharu, Amnesty International hari ini mengeluarkan laporan mengatakan pemimpin Iran Ebrahim Raisi, terbabit dalam jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk pembunuhan, penyeksaan dan menghilangkan tanpa berita individu tertentu.
Laporan itu, yang dikeluarkan beberapa jam setelah Ebrahim diumumkan sebagai pemenang pilihan raya presiden republik Islam itu, turut mengecam pelantikannya, sementara siasatan sedang dijalankan.
Setiausaha Agung Amnesty International Agnès Callamard, berkata Ebrahim bukan disiasat atas perbuatannya terhadap kemanusiaan dengan terbabit dalam pembunuhan, dan penyeksaan, sebaliknya akan mengangkat sumpah sebagai presiden.
“Pada 2018 Amnesty International mendokumenkan bagaimana Ebrahim menjadi salah seorang anggota ‘suruhanjaya kematian’ yang secara paksa menghilang ribuan ahli politik pembangkang di penjara Evin dan Gohardasht berdekatan Tehran.
“Keadaan nasib mangsa dan di mana mayat mereka, hingga hari ini, disembunyikan secara sistematik oleh pihak berkuasa Iran, merupakan kejahatan berterusan terhadap kemanusiaan,” katanya dalam laporan itu.
Laporan itu juga menyebut Ebrahim sebagai ketua badan kehakiman Iran telah melakukan tindakan keras terhadap pejuang hak asasi manusia yang menyaksikan ratusan penentang, pembela dan anggota kumpulan minoriti dianiaya dan ditahan sewenang-wenangnya.
Ebrahim, 60 tahun, seorang ulama ultra konservatif dijangka mengambil alih jawatan Presiden Iran daripada Hassan Rouhani pada Ogos ini selepas menang pilihan raya itu dengan memperoleh 62 peratus undi.
Presiden Iran, Hassan Rouhani, semalam berkata penggantinya dipilih melalui proses yang terbuka, namun ramai yang sudah menjangkakan kemenangan Ebrahim, malah tiga lagi calon sudah mengakui kekalahan mereka.
Dua calon konservatif lain, iaitu Mohsen Rezai dan Amirhossein Ghazizadeh Hashemi selain satu-satunya calon reformis iaitu bekas gabenor bank pusat, Abdolnasser Hemmati, turut mengucapkan tahniah kepada Ebrahim.- Agensi