Duta Myanmar gesa negaranya dikenakan zon larangan terbang

Penunjuk perasaan menembak bunga api ke arah tentera junta Myanmar sambil berlindung di sebalik kubu buatan di Bago, Myanmar. - Gambar AFP

Duta Myanmar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa zon larangan terbang dan sekatan dikenakan ke atas negaranya.

Kyaw Moe Tun yang menolak rampasan kuasa tentera 1 Februari lalu memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC) tindakan yang diambil oleh komuniti global sekarang tidak memadai untuk menghentikan pembunuhan ratusan rakyat, termasuk kanak-kanak .

“Tindakan tegas dan kolektif Majlis Keselamatan diperlukan segera,” katanya memberi ucapan secara maya, sambil meletakkan bendera Myanmar dan PBB di hadapannya.

Amerika Syarikat dan negara Kesatuan Eropah mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap Myanmar, ketika mesyuarat UNSC, namun junta tentera tidak mempedulikannya dan melarang utusan khas PBB melawat negara itu.

Pada masa sama komuniti antarabangsa mengenakan tekanan ke atas kerajaan tentera Myanmar supaya menghentikan tindakan kejam terhadap rakyat, selain menghidupkan segera proses demokrasi.

“Saya benar-benar percaya komuniti antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan tidak akan membiarkan kekejaman ini berterusan,” kata Moe Tun.

Beliau menggesa Myanmar diisytiharkan sebagai zon larangan terbang bagi mengelak serangan tentera junta di kawasan awam.

Moe Tun juga meminta semua pelaburan asing menggantung urusniaga mereka di Myanmar selagi proses demokrasi tidak dilaksanakan.

Beliau membuat gesaan itu tatkala laporan mendedahkan lebih banyak penunjuk perasaan dibunuh di seluruh Myanmar, termasuk 60 orang awam yang ditembak mati malam tadi.

Penunjuk perasaan menembak bunga api ke arah tentera junta Myanmar sambil berlindung di sebalik kubu buatan di Bago, Myanmar. – Gambar AFP

POPULAR