Dunia lepasi 300 juta kes Covid-19

Ia mengambil masa lebih setahun untuk dunia merekodkan 100 juta kes positif Covid-19 pertama, dan kira-kira enam bulan untuk mencapai angka 100 juta yang kedua.

Seratus juta ketiga muncul dengan lebih pantas. Hanya dalam tempoh hampir lima bulan, kerana masih ramai penduduk dunia sama ada di negara kaya atau miskin, kekal tidak divaksinasi, sementara kemunculan varian baharu pula meningkatkan lagi jumlah jangkitan.

Kiraan kes, walaupun tidak sempurna, telah menjadi pengukur utama sepanjang pandemik, penanda aras bukan sahaja untuk kerajaan yang melaksanakan langkah-langkah mitigasi tetapi juga untuk individu yang cuba melihat ancaman dalam komuniti mereka sendiri.

Namun melepasi 300 juta kes positif – yang direkodkan pada Khamis (6 Januari 2022), menurut Pusat Sains dan Kejuruteraan Sistem di Universiti Johns Hopkins – datang apabila semakin ramai pakar berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk berhenti memfokuskan kepada angka kes.

Setakat ini, varian baharu Covid-19, Omicron, kelihatan memberi jangkitan teruk kepada sebilangan kecil yang dijangkiti berbanding versi varian sebelumnya, dan kajian menunjukkan bahawa vaksin masih menawarkan perlindungan terhadap jangkitan teruk.

Walaupun kes meningkat lebih cepat berbanding sebelum ini – Amerika Syarikat (AS), Australia, Perancis dan banyak negara lain mengalami lonjakan rekod jangkitan – kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19 meningkat dengan lebih perlahan.

Tetapi pakar bimbang bahawa peningkatan jumlah kes mungkin membebankan sistem penjagaan kesihatan yang sudah tegang akibat lonjakan sebelumnya.

Minggu ini, Dr Anthony Fauci, pakar penyakit berjangkit kerajaan AS, mencadangkan bahawa sudah tiba masanya untuk berhenti memberi tumpuan kepada mengira jumlah kes.

Apabila anda semakin jauh dan jangkitan menjadi kurang teruk, adalah lebih relevan untuk memberi tumpuan kepada kemasukan ke hospital,” katanya kepada ABC News pada Ahad.

Kira-kira 60 peratus daripada populasi dunia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, tetapi hampir tiga perempat daripada semua suntikan telah diberikan di negara kaya di dunia, menyebabkan penduduk di bahagian Afrika dan Asia kekal terdedah dengan ancaman itu.

Di AS, kes harian meningkat lima kali ganda sepanjang bulan lalu, manakala kemasukan ke hospital meningkat dua kali ganda.

Di Perancis, purata kes harian meningkat empat kali ganda, manakala kemasukan ke hospital meningkat kira-kira 70 peratus dan kematian naik dua kali ganda, menurut Our World in Data di Universiti Oxford.

Manakala, di London, kerajaan terpaksa mengerahkan anggota tentera bagi membantu hospital yang kekurangan kakitangan akibat dijangkiti Covid-19, tatkalakes di negara itu terus melonjak.

Namun, jumlah kematian akibat Covid-19 yang diketahui setakat ini masih tinggi. Lebih 830,000 di AS; 620,000 di Brazil; dan hampir setengah juta di India. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR