
Serangan bunuh diri di salah sebuah balai polis di Bandung, Indonesia hari ini (7 Disember 2022) menyebabkan dua terbunuh dan lapan lagi cedera. - Gambar media sosial
Pihak berkuasa Indonesia hari ini (Rabu, 7 Disember 2022) memberitahu dua terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila seorang suspek militan yang dilihat membawa pisau, turut meletupkan dirinya sejurus selepas memasuki balai polis di bandar pelancongan, Bandung.
Ketua Biro Penerangan Polis Indonesia, Brig Jen Ahmad Ramadhan, berkata polis Bandung sedang berkoordinasi dengan unit memerangi keganasan untuk menyiasat kejadian kira-kira jam 8.20 oagi tadi wakti Indonesia Barat.
Kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang mengilhamkan Negara Islam mungkin berada di belakang serangan itu, kata Ibnu Suhendra dari agensi antiterorisme Indonesia (BNPT) kepada Metro TV.
Beliau berkata JAD pernah melakukan serangan serupa di Indonesia.
Serangan hari ini membunuh suspek dan seorang pegawai, manakala lapan yang lain cedera, termasuk anggota polis dan seorang awam, kata jurucakap polis Jawa Barat kepada Metro TV.
Rakaman dari Metro TV menunjukkan kerosakan pada balai polis, dengan beberapa serpihan dari bangunan di atas tanah dan asap naik dari tempat kejadian.
Militan Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini melakukan serangan di negara majoriti Islam terbesar di dunia, termasuk di gereja, balai polis dan tempat yang sering dikunjungi warga asing.
Dalam usaha untuk membanteras militan, Indonesia mewujudkan undang-undang antikeganasan baharu yang sukar selepas pengeboman berani mati dikaitkan dengan JAD. – Agensi