Dua lelaki nekad tembak warga Israel di jalan raya utama

Dua lelaki bersenjata menembak mati dua rakyat Israel dan mencederakan beberapa yang lain dalam kejadian pada malam Ahad (27 Mac 2022), kata pegawai keselamatan rejim Israel.

Media Israel melaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam di Hadera, sebuah bandar kira-kira 50 kilometer di utara Tel Aviv.

“Mereka adalah warga Arab Israel yang dipercayai simpatisan ISIS. Kedua-dua penyerang ditembak mati,” kata pegawai rejim, sambil memaklumkan beberapa lagi individu turut cedera.

Serangan itu berlaku lima hari selepas seorang lelaki Arab dari selatan Israel membunuh sekurang-kurangnya empat warga Israel dalam kejadian tikaman dan rempuhan kereta di bandar Beersheba, sebelum dia maut ditembak oleh anggota polis.

Rakaman kamera pengawasan yang disiarkan di stesen televisyen Israel menunjukkan dua lelaki melepaskan tembakan dengan raifal dan pistol di jalan utama di Hadera, menimbulkan kebimbangan di Israel tentang gelombang serangan sedemikian.

Dua orang ditembak mati oleh penyerang, kata polis dan perkhidmatan kecemasan. Polis berkata, dua lelaki bersenjata itu ditembak mati oleh anggota polis yang sedang makan di restoran berhampiran.

“Nasib baik, pegawai kami berjaya menembak mati penyerang dan menghalang serangan pengganas yang lebih besar,” kata jurucakap polis rejim Israel Eli Levy.

Pegawai keselamatan Israel telah memberi amaran kemungkinan peningkatan serangan ke atas warga Israel menjelang Ramadan ini. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR