Dr Tedros kekal ketuai WHO

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus kekal mengetuai agensi itu apabila penggalnya bakal tamat pada Ogos tahun depan, kerana tidak ada pencalonan lain untuk mengetuai badan dunia itu.

Menurut kenyataan WHO, Tedros yang merupakan Ketua Pengarah Agensi itu memperoleh sokongan dari 28 negara termasuk Perancis, Jerman, Indonesia, Belanda dan Sepanyol.

Tedros, 56 tahun yang merupakan bekas Menteri Kesihatan dan Luar Ethiopia itu sebelum ini berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19 sejak dipilih memegang jawatan itu pada 2017.

Tarikh akhir pencalonan Ketua Pengarah Agensi itu ditetapkan pada 23 September lalu, tetapi tiada nama lain yang dicalonkan, sekali gus menyaksikan Dr Tedros akan kekal menguruskan WHO.

Pada tahun 2017, Tedros merupakan warga Afrika pertama yang mengetuai agensi itu di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sejak bermulanya krisis Covid-19, beliau dipilih menjadi wajah WHO dan semakin dikenali kerana peranannya dalam usaha untuk mengendalikan pertubuhan itu bagi menyelaras tindak balas pandemik.

Bagaimanapun, pencalonan Tedros menjadi semakin rumit apabila rakyat Ehthiopia didakwa menarik balik sokongan keatasnya susulan konflik di wilayah asalnya di Tigray.

Ini kerana, calon untuk mengetuai jawatan tertinggi badan kesihatan PBB kebiasaannya dicalonkan dari negara asal mereka.

Sebelum ini, Tedros sudah menimbulkan kemarahan kerajaan Addis Ababa kerana menggunakan pentas WHO sebagai medium untuk mengutuk tindakan keras di Tigray.

Dengan itu, negara anggota secara rasminya sudah bersetuju akan mengundi semula ketua WHO seterusnya dalam undian secara rahsia pada Mei 2022 dalam perhimpunan WHO, pada mesyuarat tahunan utama pertubuhan itu dengan semua negara anggota terlibat.

BERITA BERKAIT
POPULAR