Dr Mahathir gesa negara Islam bersatu lawan Israel, sokong perjuangan rakyat Palestin

Negara Islam perlu bersatu dalam menentang kekejaman Israel di bumi Palestin jika mahu menamatkan konflik di Timur Tengah itu yang seakan tidak ada penghujungnya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata strategi yang betul diperlukan untuk negara-negara Islam mencapai penyelesaian tersebut dan mereka perlu menyokong hak serta perjuangan rakyat Palestin.

“Berjuang semata-mata demi perjuangan atau hanya membalas dendam tidak akan membawa sebarang hasil,” katanya lapor Bernama dalam ucapan berjudul ‘Seruan Untuk Kemanusian dan Ummah Mengenai Isu Palestin dan Mengecam Kezaliman Israel’ yang disiarkan secara langsung dalam akaun Facebooknya yang ditonton orang ramai seluruh dunia.

Dr Mahathir juga menzahirkan harapan agar dunia Arab dan rakyat Palestin duduk berbincang dan memikirkan strategi sesuai untuk berdepan dengan rejim Zionis itu.

“Saya harap dunia Islam bangkit kepada situasi semasa. Saya harap kita semua akan menderita sedikit terhadap aktiviti keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dan menentang kemanusiaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata adalah penting untuk mendapatkan pengiktirafan diplomatik dan meneroka alam diplomasi bagi menjelaskan kebenaran dalam perjuangan bahawa mangsa adalah rakyat Palestin dan bukan sebaliknya.

Katanya dunia seolah-olah berfikir bahawa ia adalah rakyat Palestin yang menimbulkan provokasi terhadap Israel tetapi rejim Zionis mengambil keputusan untuk menceroboh dan menyerang ketika jemaah Palestin sedang menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

“Orang yang bersolat bukan bahaya kepada sesiapa,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR