Dos penggalak beri perlindungan terhadap Omicron: Kajian Britain

Satu kajian dunia nyata bagaimana dua dos vaksin Covid-19 mampu melawan ancaman Omicron, menunjukkan penurunan ketara perlindungan terhadap kes bergejala yang disebabkan varian baharu dan pantas merebak itu.

Tetapi kajian yang diterbitkan oleh saintis kerajaan Britain pada 10 Disember lalu, juga menunjukkan bahawa dos penggalak memberikan pertahanan yang cukup besar terhadap Omicron.

Saintis berkenaan turut memberi pendapat lengkap berkaitan betapa cepatnya varian Omicron boleh merebak dalam populasi yang telah lengkap divaksinasi, seperti di England, namun memberi amaran varian itu boleh mengatasi Delta pada pertengahan Disember dan, sekiranya tiada sebarang langkah berjaga-jaga diambil ia akan menyebabkan kes Covid-19 meningkat.

Amaran tersebut diperkuatkan oleh kajian pemodelan komputer di England semalam, yang menunjukkan, walaupun dalam populasi yang mempunyai tahap imuniti yang tinggi, Omicron boleh mengganggu kehidupan dan membebankan hospital dengan ketara.

Bagaimanapun, kumpulan saintis berkenaan memberi amaran bahawa unjuran tersebut boleh berubah setelah mereka mengetahui lebih lanjut berhubung kadar keterukan jangkitan Omicron.

Melalui kajian yang disiarkan itu jelas membuktikan tahap perlindungan semakin berkurangan selepas empat bulan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech disuntik, iaitu kira-kira 35 peratus dalam mencegah jangkitan gejala teruk disebabkan Omicron, serta penurunan ketara dalam melawan jangkitan varian Delta.

Bagaimanapun, kajian juga mendapati dos penggalak Pfizer-BioNTech mampu meningkatkan keberkesanan perlindungan sehingga ke tahap hampir 75 peratus.

Dua dos vaksin AstraZeneca pula dilihat tidak menawarkan perlindungan terhadap jangkitan yang disebabkan oleh Omicron beberapa bulan selepas vaksinasi.

Tetapi bagi penerima tersebut, dos Pfizer-BioNTech memberi perlindungan tambahan yang besar – meningkatkan keberkesanan terhadap varian Omicron kepada 71 peratus.

Namun, pengarang kajian itu berkata mereka menjangkakan bahawa vaksin akan kekal sebagai benteng terhadap kemasukan ke hospital dan kematian, jika bukan jangkitan yang disebabkan oleh Omicron.

Saintis juga memberi amaran bahawa walaupun kes akibat varian baharu itu sangat sedikit dikesan di Britain, namun masih terlalu awal untuk mengetahui dengan lebih tepat akan keberkesanan vaksin Covid-19 terhadapnya.

Kajian itu diterbitkan bersama dengan penemuan baharu tentang betapa cepatnya varian itu mampu merebak.

Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan Britain, jika seseorang itu dijangkiti varian Omicron, kadar kebolehjangkitannya adalah tiga kali ganda lebih daripada mereka yang dijangkiti Delta untuk menyebarkan virus itu kepada orang lain.

Penyelidik kesihatan awam di Imperial College London, Profesor Neil Ferguson memberitahu keupayaan Omicron untuk mengelak pertahanan imun badan menyumbang sebahagian besar kelebihannya, berbanding daripada varian lain.

Tetapi permodelan komputer oleh pasukan penyelidiknya juga mencadangkan bahawa Omicron lebih mudah menular daripada Delta, iaitu pada tahap kira-kira 25 peratus hingga 50 peratus.

“Saya fikir terdapat sejumlah besar imun yang selamat,” kata Prof Ferguson, merujuk kepada keupayaan virus untuk mengelak pertahanan badan.

“Tetapi hakikatnya ia juga lebih mudah menular berbanding Delta.”

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa beberapa bukti menunjukkan varian Omicron menyebabkan gejala yang lebih ringan daripada Delta, tetapi masih terlalu awal untuk memastikannya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR