
Dos keempat vaksin mRNA Covid-19 sedia ada mungkin hanya memberikan 'manfaat kecil'. - Gambar Reuters
Dos keempat vaksin mRNA Covid-19 sedia ada mungkin hanya memberikan ‘manfaat kecil’ kepada individu dewasa yang lebih muda dan sihat, menurut kajian baru Israel yang diterbitkan pada Rabu (16 Mac 2022) dalam New England Journal of Medicine.
Penyelidikan itu dilakukan terhadap 270 pekerja kesihatan di Pusat Perubatan Sheba di Tel Aviv yang menerima suntikan penggalak kedua, sama ada vaksin Pfizer atau Moderna, empat bulan selepas mendapat tiga suntikan Pfizer.
Secara keseluruhannya, dos keempat didapati selamat, dan menambah antibodi peneutral penerima – yang menyekat virus Covid daripada menjangkiti sel – ke tahap yang setanding dengan selepas dos ketiga, sebelum tahap antibodi mula berkurangan mengikut peredaran masa.
Kajian itu dibuat setelah varian Omicron menular berleluasa di Israel, dan mendapati dos keempat tidak memberikan banyak perlindungan tambahan terhadap jangkitan, walaupun antibodi berkurangan dari semasa ke semasa dalam kalangan individu yang menerima tiga suntikan.
Mereka yang mendapat suntikan keempat Pfizer adalah 30 peratus kurang berkemungkinan mendapat jangkitan berbanding mereka yang mendapat tiga dos, manakala mereka yang mendapat Moderna adalah 18 peratus lebih kecil kemungkinannya untuk dijangkiti.
Kajian itu hanya melibatkan sebilangan kecil peserta dan bukan percubaan rawak – bermakna kesimpulannya harus ditafsirkan dengan berhati-hati – tetapi hasilnya hanya menunjukkan manfaat kecil daripada dos tambahan itu.
Perlindungan terhadap jangkitan didapati lebih baik sedikit bagi penerima dewasa bawah 40 tahun untuk dos keempat – 43 peratus untuk Pfizer dan 31 peratus untuk Moderna – berbanding individu yang menerima tiga suntikan. – Agensi