Dokumen bocor dedah Siam hanya boleh dapat 6 juta dos AstraZeneca

July 18, 2021 · Dunia

Surat menyurat antara kerajaan Thailand dan pengeluar vaksin Covid-19 AstraZeneca yang bocor dan didedahkan kepada umum semalam, menimbulkan persoalan besar mengenai komitmen membekalkan 100 juta dos sehingga akhir tahun ini.

Agensi berita Isra semalam mendedahkan surat dihantar Naib Presiden Hal Ehwal Korporat AstraZeneca Inc, Sjoerd Hubben kepada Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul, 22 hari lalu.

Surat itu menjelaskan kepada kementerian bahawa paling banyak Thailand boleh mendapat vaksin itu daripada pengeluar tempatan yang memperoleh kontrak dari pengeluar ubat berpangkalan di Eropah itu, adalah lima hingga enam juta dos sebulan, selaras dengan perbincangan awal kedua-dua pihak sebelum ini.

Kilang Siam Bioscience Co Ltd, yang dimiliki oleh Raja Thailand, telah diubah suai bagi mengeluarkan vaksin berkenaan. Kerajaan memberi subsidi sebanyak 600 juta baht untuk menaik taraf kilang berkenaan dan syarikat itu akan membayar balik wang tersebut dalam bentuk dos suntikan vaksin.

Pendedahan surat berkenaan mengejutkan kerana kerajaan telah berkali-kali mengulangi bahawa 100 juta dos akan dikeluarkan sehingga akhir tahun ini untuk diberikan kepada sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 61 juta populasi menggunakan vaksin AstarZeneca buatan tempatan.

Sebelum ini, kerajaan Thailand juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa AstraZeneca akan menyediakan sekurang-kurangnya 10 juta dos sebulan sepanjang tahun ini.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah apakah jenis vaksin yang akan dibeli oleh Thailand untuk memenuhi kuota yang disasarkan, terutama ketika semua pihak bersetuju bahawa Sinovac – yang tersedia di pasaran – tidak mampu melawan varian Delta Covid-19.
Harga Sinovac juga dilaporkan empat kali ganda lebih mahal daripada AstraZeneca.

Menurut surat itu, Kementerian Kesihatan Awam setakat ini telah membuat dua pesanan yang keseluruhannya berjumlah 61 juta dos AstraZeneca, membabitkan 26 juta dos pada Januari dan 35 juta dos pada Mei.

Jumlah 61 juta dos itu adalah sebahagian daripada 175 juta dos yang boleh dikeluarkan oleh Siam Bioscience Co Ltd berdasarkan kontrak diberikan AstraZeneca Inc, kata surat itu.

Selain itu, surat berkenaan juga menyatakan pada awal September tahun lalu kerajaan komited untuk membeli hanya tiga juta dos sebulan. Oleh itu AstraZeneca Inc berharap Thailand bersyukur kerana memperoleh lima hingga enam juta dos sebulan.

Syarikat itu juga menyatakan bahawa mereka telah meminta pemerintah pada September tahun lalu untuk memasuki kemudahan perkongsian vaksin COVAX bersama dengan pembelian langsung dari pengilang.

Thailand adalah salah satu daripada beberapa negara membangun yang belum bergabung dengan COVAX.

Tarikh ketika perjanjian itu benar-benar ditandatangani, seperti yang disebutkan dalam surat itu, juga mendapat perhatian. Ia menunjukkan perjanjian untuk memperoleh 35 juta dos vaksin ditandatangani pada awal Mei tahun ini, sedangkan gelombang ketiga Covid-19 telah melanda negara itu sejak awal April.

Anutin kemudian memberitahu agensi berita Isra bahawa Thailand sebenarnya telah memesan bekalan itu awal tahun ini. Bagaimanapun, Kabinet hanya meluluskan peruntukannya pada 5 Mac dan ianya memerlukan dua bulan sebelum perjanjian ditandatangani.

Pada 2 Julai lalu, Pengarah Institut Vaksin Negara, Dr Nakorn Premsri kali pertama mendedahkan bekalan AstraZeneca semakin berkurangan.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam Sathit Pitutecha pada Khamis mengakui AstraZeneca tidak mampu membekalkan semua 61 juta dos vaksin di bawah dua perjanjian itu sehingga Mei tahun depan.

Bertentangan dengan anggapan orang ramai sebelum ini, beliau berkata 10 juta dos sebulan sebenarnya adalah keupayaan Thailand untuk memberi vaksin kepada orang ramai, bukan jumlah vaksin yang akan diperoleh daripada AstraZeneca.

Orang ramai sebelum ini menganggap AstraZeneca gagal memenuhi kontrak menyebabkan rancangan imunisasi kerajaan gagal.

Malah pihak pembangkang negara itu turut mendesak kerajaan menggunakan undang-undang bagi mengharamkan eksport vaksin yang dikilangkan di Thailand, di mana bekalan dalam negara semakin berkurangan, sehingga ia boleh menjejaskan beberapa negara termasuk Malaysia. – Agensi

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular
Mesir hukum mati 12 ahli Ikhwanul Muslimin
June 15, 2021
Ombak ganas setinggi 4 tingkat dikesan di laut Pulau Vancouver
February 14, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok