
Amerika Syarikat merekodkan 10,392 kes cacar monyet sehingga Rabu, 10 Ogos 2022.
Saintis pada Isnin (13 Jun) berkata virus cacar monyet telah dikesan dalam air mani segelintir pesakit di Itali, mencetuskan persoalan sama ada kemungkinan penularan penyakit itu berlaku secara seksual, atau tidak.
Difahamkan, virus cacar monyet merebak melalui hubungan rapat dengan orang yang dijangkiti, yang mungkin menumpahkan virus itu melalui luka kulit atau titisan ketika pernafasan.
Kebanyakan kes cacar monyet yang disahkan dalam wabak semasa adalah antara pasangan seksual yang pernah melakukan hubungan rapat.
Bagaimanapun, penyakit kelamin seperti HIV/Aids, klamidia dan sifilis difahamkan, disebabkan oleh patogen yang berpindah dari satu individu ke individu seterusnya, khususnya dalam air mani, rembesan faraj atau cecair badan yang lain.
Penyelidik di Institut Spallanzani, hospital yang berpangkalan di Rom dan kemudahan penyelidikan penyakit berjangkit, pertama kali menyerlahkan bukti virus cacar monyet dalam air mani daripada empat pesakit di Itali dalam laporan pada 2 Jun.
Mereka telah mengenal pasti enam daripada tujuh pesakit di kemudahan itu dengan air mani yang mengandungi bahan genetik virus itu.
Secara khusus, sampel daripada seorang pesakit yang diuji di makmal menunjukkan bahawa virus yang ditemui dalam air maninya mampu menjangkiti orang lain dan mereplikasi.
Data ini, yang sedang diserahkan untuk diterbitkan, bukanlah bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa ciri biologi virus itu telah berubah, sehingga cara penularannya telah berkembang, kata Ketua Pengaran institut itu, Dr Francesco Vaia.
“Bagaimanapun… mempunyai virus berjangkit dalam air mani adalah faktor yang memberi keseimbangan kuat kepada hipotesis bahawa seksual adalah salah satu cara virus ini disebarkan,” katanya.
Dr Vaia berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dimaklumkan mengenai penemuan terkini.
Data itu menyusul setelah lebih daripada 1,300 kes cacar monyet dilaporkan oleh kira-kira 30 negara, kebanyakannya di Eropah, sejak awal Mei. Kebanyakan kes yang telah dilaporkan ialah lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Wabak itu telah mencetuskan kebimbangan kerana virus itu jarang dilihat di luar Afrika, di mana ia adalah endemik, dan kebanyakan kes tidak berkaitan dengan perjalanan ke benua itu.
Para saintis berlumba-lumba untuk memahami apa yang mendorong wabak semasa, asal-usulnya dan sama ada apa-apa tentang virus itu telah berubah.
Dalam laporan berasingan yang diterbitkan dalam talian pada 6 Jun dan masih belum dikaji semula, saintis Jerman turut mengesan DNA virus cacar monyet dalam air mani dua pesakit di negara itu.
Pengesanan DNA virus tidak semestinya membayangkan kehadiran virus berjangkit, kata Dr Carlos Maluquer de Motes, yang mengendalikan kumpulan penyelidikan yang mengkaji biologi poxvirus di Universiti Surrey, di England.
Analisis oleh penyelidik British mendapati DNA daripada pelbagai virus yang berbeza, termasuk virus Zika, telah ditemukan dalam air mani, tetapi tidak jelas sama ada kehadiran bahan genetik meningkatkan risiko penularan disebabkan seksual.
Secara keseluruhannya, masih belum diketahui dengan pasti sama ada cacar monyet berjangkit melalui air mani, tambah Dr Enrico Bucci, ahli biologi dari Temple University di Philadelphia.
“Ia disyaki dan berkemungkinan besar ia berlaku. Tetapi terdapat kekurangan bukti rasmi yang boleh didapati dengan eksperimen lanjut di makmal.” – Reuters