
Pemain tenis nombor satu dunia Novak Djokovic kini ditahan di sebuah hotel di Melbourne, Australia kerana tidak mematuhi syarat vaksinasi ditetapkan. - Gambar Nine News Melbourne
Novak Djokovic tidak ditahan di Australia, kata seorang pegawai tinggi negara itu tatkala pemain tenis lelaki nombor satu dunia itu berdepan pengusiran kerana tidak mematuhi peraturan vaksinasi Covid-19.
Bintang Serb itu masih dikenakan tahanan imigresen di sebuah hotel di Melbourne setelah perintah larangan kemasukan dikenakan terhadapnya Rabu lalu.
Kes itu akan dibawa ke mahkamah Isnin ini, seminggu sebelum aksi Terbuka Australia dilangsungkan.
Australia juga membatalkan visa kepada pemain Republik Czech Renata Voracova, lapor media tempatan.
Terkini, lebih banyak ketidaktentuan menyelubungi jadual kejohanan yang telah dimenangi Djokovic sebanyak sembilan kali. Kemenangan ke-10 akan menyaksikan dia menjadi pemain lelaki paling berjaya, dengan 21 Grand Slam.
Djokovic, yang mengatakan dia menentang vaksinasi, telah diberikan pengecualian perubatan untuk bermain dalam kejohanan itu atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan, sehingga menimbulkan kemarahan ramai warga Australia.
Lebih daripada 90 peratus penduduk dewasa negara itu telah diberi vaksin sepenuhnya, tetapi mereka masih menghadapi sekatan apabila kes jangkitan meningkat.
Pengecualian terhadap Djokovic diberikan oleh dua panel perubatan bebas yang dianjurkan oleh Badan Tennis Australia, pihak yang mengendalikan acara itu, dan negeri Victoria.
Tetapi pada Rabu, pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF) berkata pemain berusia 34 tahun itu “gagal memberikan bukti yang sesuai” di Lapangan Terbang Melbourne. – Agensi