Densus 88 tangkap empat disyaki anggota militan JI

Polis antiteroris Indonesia, Densus 88, menangkap empat individu disyaki pengganas yang ada kaitan dengan Jemaah Islamiyah (JI) dalam operasi di Palembang dan Lubuklinggau, di wilayah Sumatera Selatan, semalam.

Komisioner Kanan Polis Sumatera Selatan, Supriadi berkata keempat-empat individu terbabit ada hubungan dengan kumpulan militan yang diharamkan, JI, dan disyaki merancang melakukan beberapa serangan pada Krismas dan sambutan Tahun Baharu.

Menurutnya, pihak polis telah memantau keempat-empat individu terbabit sebelum menahan mereka.

Susulan penangkapan itu, Supriadi berkata polis akan meningkatkan kawalan keselamatan ketika cuti musim Krismas dan Tahun Baharu, terutama di rumah ibadat.

Beliau juga meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati ada sesuatu tindakan yang mencurigakan.

JI, sekutu Al-Qaeda berada di belakang beberapa serangan paling maut di Indonesia, termasuk pengeboman Malam Krismas 2000 terhadap gereja dan paderi dan letupan kelab malam 2002 di Bali yang mengorbankan 202 orang, kebanyakannya pelancong Barat.

November lalu, Densus 88 menangkap lapan anggota JI di Banten dan Lampung, dalam usaha mematahkan gerakan militan di negara itu.

Salah seorang yang ditahan dikenal pasti sebagai Ahmad Zaini, ketua JI di wilayah Lebak di Banten, bersama empat anggotanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR