Darwin turut rasai gempa pagi tadi

Satu gempa bumi kuat berukuran 6.0 magnitud mengoncang Laut Banda di kepulauan barat daya Indonesia pagi tadi, yang turut dirasai hingga ke Darwin, Australia.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata gempa berlaku kira-kira 182 kilometer di timur laut Lospalos di Timor Leste pada jam 3.30 pagi tadi.

“Ia berlaku pada kedalaman 126 kilometer. Tiada ancaman tsunami dikeluarkan,” lapor Biro Meteorologi Australia.

Lebih 100 penduduk di ibu kota wilayah utara Australia itu telah melaporkan mereka merasai gegaran ketika sedang tidur.

Masih belum diketahui sama ada terdapat sebarang kerosakan susulan gempa itu.

Darwin tidak asing dengan gempa bumi kerana jaraknya yang berdekatan dengan Indonesia, yang terletak ddalam lingkaran api pasifik.

Pada awal pagi 30 Disember 2021 lalu penduduk di wilayah berkenaan turut merasai gegaran gempa 7.3 magnitud yang melanda timur Timor Leste. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR