Cucuk vaksin dapat RM3.08 juta

Seorang pelajar di Australia menjadi jutawan dalam sekelip mata selepas memenangi wang tunai berjumlah 1 juta dolar Australia (RM3.08 juta) dalam satu kempen cabutan bertuah bagi individu yang lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Portal 7News melaporkan Joanne Zhu dari New South Wales diumumkan sebagai pemenang tempat pertama bagi program Million Dollar Vax itu.

Pelajar berumur 25 tahun itu merupakan antara 2.7 juta rakyat Australia yang mendaftar untuk menyertai kempen tersebut.

Program itu menawarkan ganjaran hadiah berjumlah sehingga satu juta dolar Australia kepada mana-mana penduduk yang melengkapkan vaksinasi Covid-19 di negara itu.

Menurutnya, dia tidak menyangka sama sekali akan memenangi hadiah utama dalam cabutan bertuah kempen pemberian ganjaran itu.

“Saya berasa seperti dalam mimpi selepas diumumkan sebagai pemenang program itu,” jelasnya.

Katanya, dia bercadang untuk membelanjakan sebahagian besar wang yang dimenanginya itu kepada keluarganya.

“Saya mahu menerbangkan keluarga saya keluar dari kelas pertama China dan menempatkan mereka di hotel lima bintang untuk Tahun Baru Cina jika sempadan dibuka,” katanya.

“Saya akan membeli hadiah untuk keluarga saya dan melaburkan baki wang itu supaya saya boleh menjana lebih banyak wang pada masa hadapan dan untuk membantu orang ramai jika mereka memerlukan bantuan.”

Sebelum ini, program itu dianjurkan oleh sekumpulan dermawan dan syarikat yang dikenali sebagai Million Dollar Vax Alliance bagi meningkatkan kadar vaksinasi penduduk di Australia. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR