Covid-19: Thailand kekal rekod kes baharu lima angka

Thailand hari ini melaporkan 73 lagi kematian, termasuk seorang rakyat asing, dan 10,530 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan keseluruhannya sebanyak 1,700,067 kes dengan 1,561,790 telah pulih.

Kementerian Kesihatan Awam (PHM) Thailand melaporkan daripada jumlah kes baharu itu 10,563 membabitkan penularan dalam komuniti manakala 67 dalam kalangan banduan di penjara.

Dalam tempoh 1 April lalu ketika gelombang ketiga penularan Covid-19 melanda Thailand, hingga hari ini sebanyak 1,671,204 kes dilaporkan, dengan 1,544,906 telah pulih.

Jumlah kematian di negara itu juga meningkat kepada 17,513 kes ketika gelombang ketiga itu, berbanding hanya 96 kes sepanjang tempoh 14 bulan pertama apabila Covid-19 mula menyerang.

Jumlah kematian tertinggi yang direkodkan di negara itu adalah pada 18 Ogos lalu membabitkan 312 pesakit, manakala kes baharu harian tertinggi adalah pada 13 Ogos dengan mencatat 23,418 kes.

Pesakit yang meninggal dunia hari ini berusia antara 35 dan 98 tahun. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR