Covid-19: Thai bunyikan loceng amaran

Majoriti wilayah di Thailand melaporkan lonjakan kes Covid-19, dengan situasi di Nakhon Ratchasima dilihat serius kerana kekurangan katil untuk pesakit, ketika pakar mengatakan jangkitan harian di negara itu boleh mencecah 100,000 kes sehari..

Kementerian kesihatan Awam Thailand (MPH) pula melaporkan dalam tempoh 24 jam pagi tadi 18,883 kes baharu dicatat dengan 162 adalah kes import.

Angka terkini yang dikeluarkan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) menunjukkan hanya 14 wilayah yang mencatatkan lebih sedikit kes baharu pada Ahad berbanding yang dilaporkan seminggu sebelumnya.

Ratusan sekolah dilaporkan ditutup dan dijadikan pusat kuarantin komuniti bagi pelajar dan orang ramai yang dijangkiti Covid-19.

Pihak penguat kuasa kesihatan negara itu sebelum ini memberitahu perhimpunan awam menjadi punca peningkatan kes Covid-19.

Sementara itu, Bernama melaporkan pakar virologi Thailand Dr Yong Poovorawan memberi amaran bahawa kes Covid-19 harian boleh mencecah 100,000 berikutan subvarian BA.2 Omicron merebak pantas di negara itu.

Data menunjukkan pada 5 hingga 11 Februari lalu, 500 kes daripada 1,975 kes jangkitan Omicron, atau 18.5 peratus merupakan subvarian BA.2 atau dikenali sebagai ‘stealth Omicron’.

Dr Yong, pakar virologi kanan Universiti Chulalongkorn berkata, secara purata 25,000 kes Covid-19 dilaporkan setiap hari, termasuk mereka yang diuji positif menggunakan kit ujian antigen (ATK).

Data itu menunjukkan kadar jangkitan sebanyak 10 kali ganda berbanding ketika empat gelombang sebelum ini.

“Memandangkan Thailand kini berdepan gelombang kelima, saya berharap kadar jangkitan tidak meningkat kepada enam angka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 18,883 kes baharu Covid-19 dan 30 kematian, menjadikan jumlah kumulatif terkini sebanyak 2,712,315 dan 22,624 korban.

Beliau berkata subvarian BA.2 Omicron terus menular dengan purata 15,000 kes dilaporkan di Singapura manakala kes harian baharu di Korea Selatan melebihi 100,000 buat pertama kali pada 18 Februari.

“Thailand mungkin menerima nasib sama. Pada masa ini, wabak Covid-19 berada pada trend peningkatan Asia… Ia akan mencapai kemuncak sebelum kembali stabil dan bilangan kes baharu perlahan-lahan menurun seperti di Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.

Dr Yong menggesa orang ramai yang positif Covid-19 kuarantin kendiri di rumah atau elak berada di kawasan awam bagi membendung penularan virus itu. – Agensi/Bernama

BERITA BERKAIT
POPULAR