
Orang ramai beratur di luar kelab malam di Malmo, Sweden, ketika negara itu mengisytiharkan wabak Covid-19 sudah berakhir. - Gambar EPA-EFE
Sweden membatalkan hampir semua sekatan dan menghentikan kebanyakan ujian saringan Covid-19, sekali gus mengisytiharkan wabak itu sebagai endemik, menutup pusat ujian bergerak dan pandu lalu, mulai Rabu.
Walaupun tekanan sistem penjagaan kesihatan kekal tinggi dan beberapa saintis menggesa lebih banyak kesabaran dalam memerangi pandemik itu, Kerajaan Sweden membatalkan semua baki sekatan yang tinggal – mengisytiharkan wabak itu berakhir – susulan tahap pemberian vaksin yang tinggi dan jangkitan Omicron yang kurang teruk.
“Seperti kita ketahui, wabak ini saya katakan ia sudah berakhir,” kata Menteri Kesihatan Lena Hallengren kepada Dagens Nyheter.
Sejak Rabu, bar dan restoran dibenarkan beroperasi semula selepas jam 11 malam tanpa had bilangan pengunjung. Had kehadiran bagi tempat tertutup lebih besar juga ditarik balik serta penggunaan pas vaksin dimansuhkan.
Bagaimanapun, Profesor Virologi Universiti Umea yang juga antara pengkritik paling tegar terhadap dasar larangan sekatan pergerakan Sweden, Fredrik Elgh, berkata kerajaan perlu bersabar sedikit lagi, sekurang-kurangnya beberapa minggu lagi dan berkeupayaan untuk terus membuat saringan.
“Penyakit ini masih menjadi beban besar kepada masyarakat,” katanya.
Ketua Pengarah Agensi Kesihatan Awam Sweden Karin Tegmark pula berpendapat kos dan kaitan melakukan ujian tidak lagi seimbang dan realistik.
“Jika kita melakukan ujian meluas terhadap semua individu yang dijangkiti Covid-19, ini bermakna setengah bilion kronor seminggu (kira-kira AS$55 juta) dan 2 bilion sebulan (AS$220 juta),” katanya.
Bermula Rabu, hanya pekerja penjagaan kesihatan, warga emas dan mereka yang paling terdedah, layak mendapat ujian PCR percuma jika mereka bergejala, manakala individu lain diminta tinggal di rumah sekiranya mereka menunjukkan gejala yang mungkin Covid-19.
Ujian antigen boleh dibeli di pasar raya dan farmasi, tetapi keputusan tersebut tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan.
Penyedia penjagaan kesihatan swasta juga boleh melakukan ujian dan menawarkan sijil untuk perjalanan antarabangsa, tetapi kosnya tidak akan dibayar balik oleh insurans negeri atau kesihatan.
Kadar vaksinasi yang tinggi di Sweden mewujudkan keyakinan di kalangan pegawai kesihatan dan kajian lewat 2020 yang dikeluarkan pada hari Selasa menunjukkan antibodi terdapat dalam 85 peratus sampel. – Agensi