Covid-19 semakin menular di Sydney

Dua hospital di bandar raya Sydney kini terpaksa memasang khemah sementara setelah wad sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 yang datang untuk melakukan saringan.

Semalam, New South Wales merekodkan 1,000 jangkitan harian dalam tempoh 24 jam, manakala hari ini pula 1,035 kes baharu dicatatkan dengan 969 daripadanya dikesan di Sydney – jumlah terbesar bagi seluruh Australia dalam tempoh itu.

Khemah tambahan itu didirikan di luar pekarangan Jabatan Kecemasan bagi memudahkan semua pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan.

Sydney yang merupakan bandar terpadat dan pusat utama jangkitan Covid-19 diletakkan di bawah sekatan dan perintah berkurung selama dua bulan, namun kes harian masih berada pada tahap tertinggi kerana penularan varian Delta yang semakin meluas di New South Wales.

Peningkatan jumlah pesakit Covid-19 memaksa Hospital Westmead dan Blacktown Sydney mendirikan khemah tambahan bagi melakukan ujian saringan sebelum rawatan lanjut diberikan.

Khemah sementara di Jabatan Kecemasan itu dibuat bagi mempercepatkan proses saringan dan pengesanan tahap jangkitan, sama ada perlu dimasukkan ke hospital atau menjalani kuarantin kendiri, kata jurucakap Pejabat Kesihatan Daerah Sydney Barat.

Ketua Menteri, Gladys Berejiklian memaklumkan pihak hospitak juga menyediakan lebih banyak alat bantuan pernafasan untuk rawatan intensif kepada 2,000 pesakit sejak awal tahun.

Walaupun sistem kesihatan di New South Wales ‘dalam tekanan’ namun keadaan adalah terkawal kerana kadar penduduk yang menerima vaksin Covid-19 sudah meningkat, katanya.

Pihak berkuasa kesihatan New South Wales juga memaklumkan daripada 116 pesakit di unit rawatan rapi, 102 tidak divaksin.

Australia yang pada awalnya menjadi negara yang dapat menghalang penularan Covid-19, kini berdepan penularan varian Delta yang cepat merebak.

Selain Sydney, Melbourne dan Canberra juga diletakkan di bawah sekatan dan perintah berkurung setelah merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduknya.- Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR