Covid-19: Sekatan di Sydney dimansuh lebih awal

New South Wales (NSW) dapat melonggarkan lebih banyak sekatan di bandar raya Sydney seminggu lebih awal berbanding tarikh yang dirancang iaitu 18 Oktober, susulan tindakan negeri paling ramai penduduk di Australia itu mencapai 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi.

Negeri di tenggara Australia itu dijangka mencapai angka 80 peratus minggu ini. Sebelum ini, kerajaan negeri itu berjanji akan melonggarkan sekatan kepada individu yang lengkap divaksinasi.

“Jika kita mencapai 80 peratus, kelonggaran akan diberikan bermula pada Isnin berikutnya. Perbincangan akan diadakan pada Khamis dan kami akan membuat pengumuman pada Jumaat,” kata Ketua Menteri NSW, Dominic Perrottet.

Kedai runcit, pub dan gimnasium akan dibenar beroperasi semula apabila jumlah 80 peratus individu dewasa itu dicapai. Pelitup muka juga tidak perlu dipakai di pejabat, sementara majlis perkahwinan boleh diadakan dengan jumlah tetamu yang terhad.

Sejak Isnin lalu, lebih lima juta penduduk Sydney dibenarkan keluar setelah hampir empat bulan menjalani perintah berkurung apabila kadar vaksinasi di negeri itu mencapai 70 peratus.

Bagaimanapun, pakar kesihatan memberi amaran kepada kerajaan NSW bahawa jumlah jangkitan akan meningkat semula sekiranya Sydney dibuka dan pesakit akan bertambah di hospital.

NSW hari ini merekodkan 444 jangkitan baharu, meningkat berbanding 360 semalam.

Australia kini berada dalam gelombang ketiga Covid-19 didorong oleh penularan meluas varian Delta yang melanda Sydney dan Melbourne, serta Canberra.

Ibu negara Australia, Canberra akan memansuhkan sekatan dan ‘lockdown’ bermula Jumaat ini selepas 95 peratus penduduknya menerima sekurang-kurangnya satu dos. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR