Covid-19: Risiko di bangunan guna sistem penyaman udara berpusat

Satu kajian baharu yang diterbitkan oleh penyelidik China menarik perhatian terhadap risiko penularan virus Covid-19 antara dua bangunan berdekatan yang berkongsi satu sistem penyaman udara berpusat.

Kajian itu juga mendapati virus Covid-19 boleh merebak melalui aerosol – titisan yang membawa virus yang bercampur di udara dan disedut – kemungkinan dibantu oleh operasi penyaman udara, sama ada ketika membuka atau menutup pintu dan tingkap.

Oleh itu, pemantauan aliran udara di wad pengasingan untuk pesakit Covid-19 serta pembasmian kuman di kawasan tersebut perlu dipertingkatkan.

Kajian itu diterbitkan secara dalam talian Jumaat lalu (20 Ogos 2021) oleh China CDC Weekly, platform akademik diwujudkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China. Kajian dilakukan bersama penyelidik CDC China dan kakitangan kawalan penyakit tempatan di wilayah Guangdong.

Pada bulan Mei, seorang pesakit Covid-19 di Guangzhou, di wilayah Guangdong, disyaki dijangkiti virus itu melalui aerosol daripada pesakit lain yang tinggal di bangunan yang terpisah tetapi di hospital yang sama. Kedua-duanya adalah individu yang tiba dari luar negara.

Sebelum didiagnosis, kedua-dua pesakit diasingkan di dua bangunan berbeza yang berkongsi siling luar, membentuk ruang yang agak tertutup.

Penyelidik kemudian melakukan kajian lapangan di hospital itu. Mereka menggunakan pemancar sinaran molekul mikro untuk mensimulasikan dan memerhatikan penyebaran zarah-zarah aerosol di udara, dan kemudian menentukan jalur aliran pergerakannya.

Hasil ujian itu menunjukkan bahawa operasi penyaman udara, pembukaan dan penutupan pintu dan tingkap, dan aktiviti manusia semuanya dapat mempengaruhi penyebaran aerosol antara bangunan berdekatan.

“Semakin baik pengalihan udara, semakin cepat pemindahannya,” kata laporan itu.

Berdasarkan kajian itu penyelidik mencadangkan ruang yang mencukupi perlu dikekalkan di antara wad pengasingan dan kawasan pesakit biasa di hospital.

Selain itu, sistem aliran udara di wad pengasingan perlu diperiksa dan langkah-langkah pembasmian kuman diperketatkan bagi mengurangkan risiko penularan virus menerusi aerosol. – China Daily/Asia News Network

BERITA BERKAIT
POPULAR