Pemangku Ketua Menteri Queensland Steven Miles memaklumkan kerajaan negeri itu membuat keputusan menutup sempadannya dengan New South Wales (NSW) mulai jam 1 pagi esok bagi mengelakkan penularan Covid-19.
NSW, negeri popular di Australia dan menempatkan bandar terbesar Sydney, hari ini melaporkan jumlah kes baharu harian tertinggi iaitu sebanyak 124 kes, berbanding 110 kes pada Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,600 kes.
Bagaimanapun, Queensland tidak mencatatkan kes baharu Covid-19 sejak semalam.
Miles juga berkata pelitup muka masih perlu dipakai selama tujuh hari lagi di 11 kawasan di sekitar Queensland tenggara, tetapi sekatan lain akan dikurangkan mulai Jumaat.
Antara peraturan yang akan dilonggarkan termasuk kebenaran berkumpul di tempat tertutup menjadi 100 individu berbanding 30 sebelum ini, dan tiada batasan jumlah bagi orang ramai berkumpul di tempat awam.
Miles juga berkata Queensland akan mengenakan sekatan baharu dengan membenarkan 75 peratus penonton masuk ke stadium yang mempunyai kapasiti 20,000 tempat duduk.
“Orang ramai wajib memakai pelitup muka sepanjang masa ketika berada dalam stadium kecuali untuk makan dan minum,” katanya.
Queensland kembali bimbang dengan jangkitan Covid-19, setelah seorang wanita berusia 20-an yang menerima dua dos vaksin mendapat jangkitan varian Delta dan melakukan perjalanan ke seluruh negeri.
Pada 13 julai lalu, seorang wanita menaiki pesawat dari Melbourne ke Maroochydore di Pantai Sunshine sebelum menerima pesanan teks pada 15 Julai memberitahunya sebuah pub di Melbourne yang dikunjunginya terdedah kepada Covid-19.
Wanita itu menerima laporan negatif Covid-19 namun mengikut peraturan Victoria, sesiapa yang terdedah kepada kawasan wabak peringkat 1 mesti menjalani ujian saringan dan dikuarantin selama 14 hari.
Bagaimanapun, wanita terbabit telah pergi ke beberapa tempat termasuk restoran di Mooloolaba dari jam 6.45 petang hingga 8 malam pada 15 Julai dan menaiki pesawat ke Cairns, sebelum memperoleh keputusan positif pada malam Isnin lalu. – Agensi