Covid-19: Perancis catat lebih 30,000 kes dalam tempoh 24 jam

Dalam tempoh 24 jam, Perancis melaporkan lebih 30,000 kes jangkitan baharu Covid-19, pada Selasa, lonjakan tertinggi yang pertama sejak 24 Ogos lalu.

Kadar jangkitan tertinggi ini dilaporkan selepas perlaksanaan peraturan baharu berkaitan perjarakan fizikal dilaksanakan dan ketika negara itu dalam proses meningkatkan program vaksinasi.

Lebih 30,454 kes baharu dilaporkan pada Selasa, menjadikan kumulatif kes di negara itu mencecah lebih 7.45 juta dan merupakan peningkatan perbandingan minggu ke minggu sebanyak 54 peratus.

Jangkitan baharu di Perancis ini disifatkan sebagai gelombang kelima sejak wabak Covid-19 mula menular di negara itu.

“Hari ini, kami akan mengumumkan 30,000 kes dalam tempoh 24 jam. Itu adalah peningkatan yang sangat besar dalam kadar jangkitan.. malangnya ia menunjukkan bahawa Perancis kini berada dalam gelombang kelima wabak itu,” kata Menteri Kesihatan Olivier Veran.

Minggu lalu, pengawal selia kesihatan Perancis mengumumkan pemberian suntikan dos penggalak akan diperluaskan kepada golongan yang berumur 40 tahun ke atas dan kerajaan turut mewajibkan peraturan pemakaian pelitup muka di semua sekolah.

Sementara itu, kemasukan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) turut meningkat ke 1,455 orang pasa Selasa berbanding hanya 49 orang pada Isnin lalu.

Saham Eropah merosot ke paras terendah tiga minggu pada hari Selasa, mencatatkan sesi terburuk mereka dalam hampir dua bulan, apabila penularan semula kes Covid-19 menimbulkan kebimbangan terhadap sekatan yang lebih ketat. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR