Covid-19: Pemimpin politik Thailand bimbang rakyat mati di jalanan

Thailand melaksanakan program vaksinasi bergerak di kawasan tumpuan ramai. - Gambar Bloomberg

Sejak kebelakangan ini dilaporkan lebih ramai warga Thailand yang meninggal dunia di rumah kerana kekurangan fasiliti dan tempat kuarantin di hospital dan ada di antaranya yang tidak sempat untuk membuat ujian saringan Covid-19.

Seorang pemimpin politik di daerah Bang Phlat, Bangkok, Thipjutha Bunnag berkata terdapat satu kes di mana seorang wanita berusia yang mengalami gejala Covid-19 seperti demam dan sakit sendi yang teruk telah meninggal dunia selepas dipindahkan ke hospital.

“Wanita itu bekerja di sebuah rumah urut di daerah Bang Phlat di Bangkok,” katanya.

Beliau juga memberitahu beberapa hari lalu, terdapat kes di mana seorang wanita itu telah jatuh sakit dan ingin menjalani ujian saringan Covid-19, tetapi akhirnya dia telah meninggal dunia semasa sedang beratur menunggu giliran di kenderaanya.

Selain itu, terdapat juga satu lagi kes kematian yang dilaporkan pada Khamis lalu, melibatkan seorang wanita Myanmar yang ditemui meninggal dunia ketika sedang menjalani kuarantin kendiri di kediamannya di Bangkok dan telah disyaki dijangkiti virus Covid-19.

“Kenaikan kes harian Covid-19 di Thailand telah menunjukkan peningkatan yang mendadak di mana terdapat ramai individu yang jatuh sakit dan ramai warga tua yang tidak dapat menyertai ujian rasmi saringan Covid-19, sehingga mereka terpaksa membuat rawatan dan kuarantin kendiri di rumah.,” katanya.

Beliau menegaskan sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya dengan kadar segera bagi krisis ini, pastinya Thailand akan mengalami situasi jangkitan Covid-19 yang terburuk, sama seperti yang berlaku di India, di mana ramai rakyatnya yang meninggal dunia di jalanan.

POPULAR