Covid-19 menular: AS sekat perjalanan ke Jerman, Denmark

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) dan Jabatan Negara AS mengeluarkan notis sekatan perjalanan ke Jerman dan Denmark kepada penduduk negara itu susulan peningkatan kes Covid-19 di kedua-dua negara berkenaan.

CDC mengkategorikan keadaan semasa jangkitan di kedua-dua negara itu pada ‘Tahap Empat: Sangat tingg’’.

Sehingga kini, terdapat 75 destinasi yang disenaraikan oleh CDC di seluruh dunia dalam ‘Tahap Empat’ dengan kebanyakkannya melibatkan negara Eropah termasuk Austria, Britain, belgium, Greece, Norway, Switzerland, Romania, Ireland dan Republik Czech.

Manakala di Asia Tenggara, Singapura dan Malaysia turut tersenarai dalam negara di ‘Tahap Empat’.

Awal bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan banyak negara Eropah melaporkan lonjakan kes jangkitan Covid-19 dan pihak berkuasa sedang bertungkus-lumus untuk mencegah penularan dengan melaksanakan semula sekatan.

“Keadaan kadar jangkitan Covid-19 di benua Eropah saat ini ‘sangat membimbangkan’.

“Kita harus memikirkan cara lain bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin teruk,” kata ketua WHO Eropah, Hans Kluge.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn, memberi amaran bahawa majoriti rakyat Jerman perlu disuntik vaksin, dirawat hingga sembuh atau akan mati akibat covid-19 dalam tempoh beberapa bulan ini.

Amaran itu disuarakan beliau selepas kempen inokulasi kurang mendapat sambutan.

“Kemungkinan menjelang penghujung musim sejuk ini, mungkin agak sinis kenyataan saya, hampir semua orang di Jerman akan diberi vaksin, disembuhkan atau mati,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR