Covid-19: Mayat di jalanan cetus ketakutan penduduk Bangkok

Ketika Bangkok terus diletakkan di bawah perintah berkurung pada waktu malam dan sekatan ketat Covid-19, tiga mayat di temui di jalanan ibu negara Thailand itu, sambil gambar mereka tular di media sosial.

Penemuan itu menyebabkan penduduk di wilayah Bangkok – pusat pandemik Covid-19 di Thailand – hidup dalam ketakutan selepas dakwaan mengatakan ketiga-tiganya meninggal dunia akibat jangkitan virus berkenaan.

Menurut kiraan rasmi terkini, kira-kira 13,002 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan di Thailand dalam tempoh 24 jam lalu dengan 108 kematian menjadikan jumlah keseluruhan 7,126 pesakit meninggal dunia.

Lelaki pertama dikatakan rebah di hadapan sebuah kuil Buddha di Jalan Sukhumvit, salah satu jalan utama di bandar raya Bangkok.

Walaupun pertolongan cemas diberikan, lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi. Mayatnya dibawa ke hospital beberapa jam kemudian.

Mayat kedua, lelaki berusia 60 tahun ditemukan beberapa kilometer dari lokasi kejadian pertama di Ratchadamnoen Avenue – daerah mewah di Bangkok yang turut menempatkan beberapa kementerian, bangunan kerajaan dan markas tentera serta polis.

Mayat ketiga, lelaki berusia 40 tahun ditemukan di sebuah pusat beli-belah di daerah Khlong Toey, kawasan pelabuhan yang terkenal dengan persekitaran yang kotor.

Pihak berkuasa negara itu berkata lelaki pertama disahkan meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19, manakala ujian ke atas dua lagi mayat masih dijalankan.

Walau apa pun, kematian dan penemuan mayat di jalan-jalan di kota Bangkok adalah perkembangan terbaharu yang mengejutkan 12 juta penghuninya.

Sebelum itu kerajaan Thailand mengenakan perintah sekatan yang ketat di Bangkok dan sembilan wilayah berhampirannya, termasuk perintah berkurung mulai jam 9 malam hingga 4 pagi, dan penutupan premis perniagaan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

Perintah sekatan yang ketat itu diperluaskan lagi ke beberapa wilayah setelah kes harian baharu Covid-19 melonjak, susulan penularan pantas varian Delta.

Kerajaan Thailand juga melanjutkan perintah berkurung dan sekatan itu sehingga September.

Thailand semalam merekodkan kes baharu harian dalam tempoh 24 jam – yang tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara itu tahun lalu – dengan mencatatkan 13,002 jangkitan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR