Covid-19: Lebih 25,000 kanak-kanak Indonesia yatim piatu

October 2, 2021 · Dunia

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan 25,430 kanak-kanak di Indonesia menjadi yatim piatu sejak pandemik Covid-19 menular di negara itu awal tahun lalu.

Menurut pemetaan dilakukan di seluruh negara itu oleh Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak (MoWECP) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) kanak-kanak terbabit kematian seorang, sama ada ibu atau bapa, atau kedua-duanya sekali dalam tempoh pandemik.

Pemetaan yang dilakukan itu juga mendapati majoriti kanak-kanak atau 57 peratus daripadanya kematian penjaga lelaki atau bapa; 37 peratus lagi kematian ibu atau penjaga wanita, dan sekitar lima peratus kehilangan kedua-duanya.

“Kebanyakan kanak-kanak itu sekarang ini diawasi penjaga wanita, sesetengahnya oleh keluarga terdekat, sementara 114 kanak-kanak lagi tidak dijaga oleh mana-mana pihak, termasuk individu dewasa,” kata OCHA dalam kenyataan.

Kehilangan satu atau kedua-dua penjaga boleh memberi kesan buruk kepada pemakanan, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan menyebabkan mereka berdepan risiko lebih besar – pengabaian, keganasan dan eksploitasi – terutama bayi dan anak kecil daripada keluarga berpendapatan rendah.

Kanak-kanak yatim piatu atau kehilangan penjaga mereka sering menghadapi kesan buruk, termasuk kemiskinan, kata OCHA.

Ibu atau bapa yang masih hidup atau penjaga alternatif juga berdepan beban ekonomi dan mental tambahan, yang sering kali ditanggung oleh wanita dan remaja perempuan dan boleh menyebabkan mereka berisiko tinggi untuk berhenti sekolah.

“Kami terus memantau tindak balas yang diberikan kepada kanak-kanak yang orang tua mereka meninggal akibat Covid-19 dari semua pihak yang berkepentingan.

“Kami akan memastikan kanak-kanak ini dilindungi, dan hak mereka dapat dipenuhi,” kata Menteri MoWECP, Gusti Ayu Bintang Darmawati.

Katanya, MoWECP, UNICEF dan pihak tertentu bekerjasama mengenal pasti kanak-kanak yang menjadi yatim piatu susulan Covid-19 di Indonesia.

Kemudahan akses kepada kesihatan mental dan sokongan psikososial untuk kanak-kanak dan penjaga, selain meningkatkan usaha koordinasi untuk memastikan anak-anak kekal dalam penjagaan berasaskan keluarga, turut diberikan.

Kanak-kanak yang kehilangan penjaga disebabkan Covid-19 dikenal pasti menerusi penggunaan RapidPro, perisian yang mengumpulkan data melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp dan saluran komunikasi lain.

UNICEF telah menyesuaikan RapidPro untuk tujuan itu supaya perkhidmatan sosial di seluruh negara dapat mengumpulkan maklumat penting, seperti usia, jantina, lokasi dan siapa mereka tinggal melalui WhatsApp.

“Bilangan kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19 melonjak sejak enam bulan lalu, tetapi ini bukan masalah jangka pendek.

“Kita mesti memastikan bahawa anak-anak yatim dilindungi dengan betul, bukan hanya sekarang tetapi pada tahun-tahun yang akan datang,” kata wakil UNICEF, Debora Domini. – Agensi

Berita berkaitan
Sebanyak 32.8 peratus kes baharu Covid-19 di Sarawak disebabkan BA.5
August 11, 2022· Isu semasa
Kes baharu Covid-19 sebanyak 3,927 dengan enam kematian baharu
August 6, 2022· Isu semasa
Dua peguam Zahid dijangkiti Covid-19, bicara kes rasuah YAB ditangguh
August 5, 2022· Isu semasa
Kadar pengangguran masih tinggi walaupun turun pada 2022
August 3, 2022· Isu semasa
Popular
AS tunjuk kuat, uji peluru berpandu balistik Minuteman III
August 16, 2022
Russia tak perlu guna senjata nuklear ke atas Ukraine
August 16, 2022
Bekas pegawai polis Malaysia menang kerusi Parlimen di Australia
May 22, 2022
Lagi Dunia terkini
Russia tak perlu guna senjata nuklear ke atas Ukraine
13 jam lalu · Dunia
AS tunjuk kuat, uji peluru berpandu balistik Minuteman III
13 jam lalu · Dunia
MH17: Mahkamah Belanda buat keputusan 17 November
August 15, 2022 · Dunia
Trafik penumpang SIA cecah 2 juta kali pertama sejak wabak Covid
August 15, 2022 · Dunia
Baht Thailand melantun pantas disokong sektor pelancongan
August 15, 2022 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Polisi baharu cegah kematian tahanan polis
August 15, 2022
[VIDEO] Himpunan kapal LCS mahu siasatan bukan penjelasan
August 15, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok