Covid-19: Lebih 24,000 kanak-kanak Indonesia jadi yatim piatu

Pemerintah Republik Indonesia menganggarkan sejak awal tahun lalu hingga kini seramai 24,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu setelah kematian ibu bapa masing-masing akibat wabak Covid-19.

Menteri Hal Ehwal Sosial Tri Rismaharini bagaimanapun berkata angka itu masih perlu dikemas kini bagi mengetahui jumlah sebenar kanak-kanak yang kematian ibu bapa akibat wabak berkenaan.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak kerajaan tempatan untuk menyegerakan pengumpulan data mengenai perkara itu.

“Ini bertujuan untuk mengekalkan semangat mereka kerana bantuan sosial akan diberikan, termasuk untuk bersekolah,” katanya pada sidang media di Pusat Pendidikan dan Latihan Polis Republik Indonesia (Polri) hari ini.

Pengumpulan data membolehkan peruntukan bajet disediakan kepada kanak-kanak supaya mereka boleh meneruskan kehidupan, katanya.

“Saya mendapati kanak-kanak yang masih bersekolah mengalami kejutan besar akibat kehilangan ibu bapa mereka. Mereka masih memikirkan sama ada akan melanjutkan pelajaran atau tidak selepas kehilangan ibu bapa mereka,” katanya.

Justeru, katanya terapi dan khidmat sokongan psikososial diperlukan untuk meredakan kejutan akibat kehilangan ibu bapa mereka.

Rismaharini juga bimbang jika kanak-kanak mengalami kejutan terlalu lama, adalah sukar untuk mengoptimumkan kapasiti dan kebolehan mereka.

Sementara itu, Menteri Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak, Bintang Puspayoga, memberi jaminan Polri akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Pada sidang media sama, beliau memuji sokongan psikososial yang diberikan oleh anggota Polri kepada kanak-kanak yatim piatu di seluruh Indonesia.

“Kami akan memastikan perlindungan yang diberikan adalah sesuai, selamat dan selesa. Kami tidak mahu kanak-kanak ini diabaikan, atau menjadi mangsa pemerdagangan kanak-kanak dan perkara lain,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR