Covid-19: Kes di Indonesia terus naik, pakar gesa ‘total lockdown’

Kakitangan kesihatan Indonesia melakukan ujian swab di kedai makan di Banda Aceh, bagi mengesan jangkitan Covid-19, baru-baru ini. - Gambar AFP

Indonesia hari ini melaporkan 20,694 jangkitan baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sejak kes bula dikesan pada Mac tahun lalu kepada 2,135,998.

Sebanyak 423 lagi kematian dilaporkan menjadikan keseluruhannya 57,561 kes, kata Kementerian Kesihatan Republik Indonesia hari ini.

Mengikut data yang dikeluarkan sebanyak 1,859,961 pesakit telah sembuh menjadikan mereka yang masih dirawat di seluruh hospital di negara itu kepada 276,037 individu.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Jakarta melaporkan 8,348 kes baharu diikuti Jawa Barat (4,771); Jawa Tengah (2,143); Jawa Timur (1,081); dan Yogyakarta (859).

Peningkatan kes yang berlaku di Indonesia sekarang ini adalah susulan pergerakan rakyat negara itu ketika cuti sambutan Aidilfitri Mei lalu serta penularan virus yang membimbangkan (VOC) – Varian Delta dan Alpha, dua varian yang bermutasi paling cepat merebak dan mudah menjangkiti.

Semalam, jurucakap pasukan khas Covid-19 Indonesia, Siti Nadia Tarmizi berkata pihaknya menjangkakan kes positif Covid-19 akan meningkat dan kemuncaknya diramalkan dua atau tiga minggu lagi.

Sementara itu, pakar epidemiologi dari Australia Griffith University, Dicky Budiman, berpendapat bahawa penutupan penuh atau ‘total lockdown’ adalah pilihan terbaik untuk membendung kes Covid-19 yang sedang mencanak naik, terutama di Jakarta.

Dicky, bagaimanapun berkata penutupan itu tidak boleh dilakukan di ibu kota sahaja.

“Ini kerana peningkatan kes berlaku di semua wilayah, tidak hanya di Jakarta, tetapi di Jawa,” katanya.

Menyifatkan bulan ini adalah yang terburuk bagi Indonesia, beliau berkta pandemik semakin teruk sehingga virus Covid-19 kini menjangkiti kumpulan rentan dan berisiko tinggi, baik dari segi usia, atau faktor risiko lain.

Beliau menyarankan majikan sektor swasta membenarkan 100 peratus kakitangan bekerja dari rumah selama dua minggu akan datang untuk mengekang penularan Covid-19 secara signifikan kerana pergerakan masyarakat akan terbatas.

“Kemudian kita boleh menilainya setelah dua minggu. Ini mesti dilakukan jika pemerintah serius dalam menangani wabak tersebut. Tetapi ia harus dilakukan di seluruh Jawa bukan hanya di Jakarta,” katanya.

Berdasarkan kepada data yang dikeluarkan, Dicky menganggap pandemik Covid-19 di Indonesia sekarang ini sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Untuk mengatasinya, maka usaha yang luar biasa diperlukan,” katanya yang mengkritik strategi komunikasi kerajaan menyebabkan masyarakat keliru.

Beliau merujuk kepada langkah kerajaan menguatkuasakan larangan Covid-19, tetapi pada masa sama membenarkan orang ramai bergerak.

“Akibatnya, orang ramai tidak tahu dan tidak mengalami situasi semasa Covid-19 yang semakin parah,” katanya. – Agensi

POPULAR