Covid-19: Kematian di Asia cecah lebih sejuta kes

Asia melepasi pencapaian suram sebanyak satu juta kematian berkaitan Covid-19 pada Jumaat (11 Mac 2022), menurut pengiraan Reuters apabila lonjakan jangkitan varian Omicron merebak ke seluruh rantau itu, selepas bermula di negara seperti Jepun dan Korea Selatan.

Jumlah kematian di Asia, yang menempatkan lebih separuh penduduk dunia, mencecah 1,000,045, menyumbang 16 peratus daripada kematian global berkaitan Covid-19, menurut pengiraan itu.

Kes baharu kekal pada paras rekod atau hampir mencapai rekod tertinggi di Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam, tetapi telah menurun secara mendadak daripada kemuncaknya di India, Indonesia dan Filipina.

Malah tanah besar China, yang telah menggunakan strategi “sifar dinamik” langkah ketat untuk membendung jangkitan Covid-19, telah dilanda dengan teruk oleh Omicron yang merebak dengan pantas.

Kematian telah melonjak ke rekod tertinggi di negara Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan serta hab kewangan Hong Kong.

Kematian Covid-19 di Hong Kong telah meningkat kepada purata lebih daripada 200 kes sehari pada minggu lalu, melonjak berbanding sebelum ini, apabila wabak itu melanda ratusan rumah jagaan, menjangkiti ramai warga emas yang tidak divaksin di bandar itu.

Purata kes kematian harian Korea Selatan ialah 186 kematian, tiga kali ganda paras ketika lonjakan jangkitan pada 2021.

India, negara kedua paling ramai penduduk di dunia, yang menyumbang hampir 52 peratus daripada jumlah kematian Covid-19 di Asia, melaporkan penurunan mendadak dalam kedua-dua kes iaitu jangkitan dan kematian sepanjang bulan lalu.

India melaporkan kurang daripada 5,000 kes dan 200 kematian sehari dalam tempoh empat hari terakhir, berbanding kemuncaknya tahun ini pada Januari iaitu lebih 300,000 kes dan 1,000 kematian setiap hari.

China, Singapura dan Korea Selatan telah memberi dua dos vaksin kepada lebih 85 peratus populasi mereka, tetapi kurang daripada 40 peratus penduduk di Myanmar, Uzbekistan dan Kyrgyzstan telah divaksinasi sepenuhnya, menurut analisis Reuters.

Di rantau Asia yang lebih luas, kira-kira 65 peratus penduduk telah menerima dua dos vaksin.

Hong Kong, yang menimbang ujian besar-besaran untuk 7.4 juta penduduknya, telah mengarahkan sekatan paling ketat dengan larangan perhimpunan awam lebih daripada dua orang, penutupan kebanyakan tempat, dan menggantung penerbangan dari negara seperti Britain dan Amerika Syarikat.

Di China, jangkitan baharu semakin meningkat.

Tanah besar itu melaporkan pada Jumaat lebih daripada 1,000 kes tempatan baharu dikesan, didorong oleh lonjakan jangkitan tidak bergejala. Tiada kematian dilaporkan sejak Januari tahun lalu.

Namun, masih terlalu awal bagi negara paling ramai penduduk di dunia itu untuk mempertimbangkan melonggarkan sekatan ketatnya, kerana Omicron masih mampu menyebabkan banyak kematian, kata Liang Wannian, ketua kumpulan pakar mengenai pencegahan Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR