Covid-19: Indonesia rekod kematian 114 doktor bulan ini

July 19, 2021 · Dunia

Pasukan Mitigasi Persatuan Perubatan Indonesia (IDI) melaporkan 114 doktor meninggal dunia akibat Covid-19 bulan ini, dua kali ganda daripada yang direkodkan bulan lalu, dan tertinggi sejak pandemik itu dikesan pada Mac tahun lalu.

Ketua Pasukan Mitigasi IDI Mahesa Paranadipa Maikel berkata jumlah kematian doktor itu memberi kesan kepada sektor kesihatan di Indonesia, walaupun 95 peratus daripada kakitangan perubatan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Sinovac.

Katanya rekod tertinggi kematian pernah dicatatkan pada Januari lalu membabitkan 65 doktor.

Keseluruhannya seramai 545 doktor di Indonesia meninggal dunia sejak permulaan pandemik. Jumlah tertinggi dicatatkan di Jawa Timur dengan 110 doktor diikuti Jakarta (83) dan Jawa Tengah (81).

Semua angka tertinggi itu terletak di Pulau Jawa – wilayah paling padat penduduk berbanding satu lagi pulau besar iaitu Sumatera.

“Sepanjang Jun lalu 51 doktor meninggal dunia, tetapi jumlah itu melonjak 123 peratus bulan ini.

“Angka ini mungkin lebih tinggi kerana ada hospital dan klinik swasta yang tidak melaporkan kepada kami, kata Mahesa sambil menambah kebanyakan mereka yang meninggal dunia itu adalah doktor am, pakar obstetrik, pakar perubatan dalaman dan pakar bedah

Pasukan itu juga memaklumkan bahawa beratus-ratus pekerja kesihatan lain telah meninggal dunia akibat wabak tersebut, termasuk 445 jururawat, 42 ahli farmasi, 223 bidan dan 25 pekerja makmal.

Untuk mengatasi masalah itu, pemerintah Indonesia membuat keputusan memberi suntikan ketiga kepada kakitangan perubatannya. Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin memaklumkan kerajaan telah mula memberi suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 kepada kakitangan kesihatannya yang telah menerima dua dos Sinovac.

Sinovac adalah salah satu daripada tujuh vaksin yang menerima kelulusan kecemasan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kajian tahap keberkesanannya masih dijalankan, tetapi vaksin itu dilihat kurang berkesan melawan virus Covid-19 berbanding vaksin lain.

Sementara itu, dalam seminggu terakhir jumlah jangkitan harian di kalangan rakyat Indonesia meningkat kepada lebih 5,000, dengan lebih 1,000 kematian baharu.

Indonesia ketika ini merekodkan lebih 2.8 juta kes yang disahkan positif Covid-19 dan 72,000 kematian, menurut Johns Hopkins University, yang mengesan wabak pada peringkat global. Indonesia adalah negara keempat terpadat di dunia, dengan lebih 275 juta penduduk.

Ahli epidemiologi Fakulti Perubatan Awam Universiti Airlangga, Windhu Purnomo berkata situasi mungkin bertambah buruk kerana tiga faktor iaitu program vaksinasi yang perlahan, kegagalan mengekang pergerakan orang ramai, dan penularan lebih pantas varian Delta Covid-19.

“Kami baharu sahaja mendapat banyak vaksin, termasuk dari Amerika Syarikat dan Jepun, Walaupun, program vaksinasi dipertingkatkan, tetapi ia belum mencapai tahap maksimum,” katanya.

Negara ini tidak dapat melakukan ‘lockdown’ lebih awal seperti negara-negara lain, kerana ia tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk membantu penduduk yang tidak dapat keluar bekerja, sementara varian Delta terus memberi ancaman kepada masyarakat.

“Beban kami terlalu berat,” katanya.

Namun pada 3 Julai lalu, pemerintah Indonesia akhirnya melaksanakan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’, khusus di wilayah Pulau Jawa dan 15 wilayah lain yang paling padat penduduk, yang dilanjutkan sehingga hujung bulan ini.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat beli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor tidak penting, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan reakrasi ditutup.

Pasukan Mitigasi IDI turut memberi amaran sistem kesihatan negara itu akan lumpuh kerana, sementara jumlah pesakit Covid-19 semakin meningkat, sektor perubatan pula kekurangan kakitangan kerana ratusan lagi terpaksa melakukan kuarantin kendiri akibat jangkitan tahap rendah Covid-19.

“Kami bimbang kemungkinan sistem kesihatan runtuh. Kita mesti membuat pemetaan untuk melihat kemampuan setiap kemudahan kesihatan tempatan yang ada sekarang,” kata pasukan itu.

Pemerintah Indonesia juga merancang mempercepatkan pembukaan sejumlah hospital serta mengambil 2,000 doktor dan 20,000 jururawat bagi menangani masalah sedia ada. – Agensi

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular
Aktiviti Ramadan kembali hidup di Masjidil Haram, Masjid Nabawi
April 2, 2022
Singapura beri amaran kesan buruk, eraksi berpanjangan kopi Pejuang
May 26, 2022
66 maut pesawat terhempas di Nepal
January 15, 2023
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok