Covid-19: Indonesia rekod 32,211 kes hari ini, tertinggi sejak enam bulan

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Indonesia hari ini, 4 Februari 2022, melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh enam bulan apabila mencatat 32,211 kes positif, didorong oleh penularan pantas varian Omicron.

Semalam, Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi memaklumkan jumlah jangkitan harian Covid-19 di negara itu dalam tempoh 24 jam pada Khamis adalah sebanyak 27,197 kes.

Menurut data dikeluarkan Pasukan Petugas Covid-19 Indonesia, angka terbaharu itu menjadikan keseluruhan kes positif di negara itu kini mencecah 4,446,694 kes.

Dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari tadi, seramai 7,190 pesakit telah sembuh menjadikan kes pulih di negara itu meningkat kepada 4,161,987 kes.

Dalam tempoh 24 jam lalu seramai 42 pesakit Covid-19 meninggal dunia menjadikan keseluruhannya 144,453 kes kematian, lapor pasukan petugas itu hari ini.

Pada masa sama, seramai 5,588 pesakit Covid-19 kini menerima rawatan di Hospital Kecemasan Perkampungan Atlet di Kemayoran, Jakarta Tengah.

Sementara itu, pihak berkuasa Bandung – ibu kota Jawa Barat – menutup sebuah pusat beli-belah selama tiga hari setelah melanggar peraturan Covid-19 apabila membenarkan ramai pengunjung masuk bagi menyambut Tahun Baharu Cina pada Selasa lalu.

Ketua Penguat Kuasa Majlis Pentadbiran Bandung Rasdian Setiadi berkata operasi pusat beli-belah itu ditutup sehingga 6 Februari ini kerana melanggar perintah mengenai sekatan aktiviti awam ketika pandemik.

Pusat beli-belah itu kekal ditutup sehingga 6 Februari, dan kami akan membenarkannya dibuka semula selepas pengendali pusat beli-belah membayar denda Rp500 ribu (AS$35), katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR