Covid-19: Indonesia ramal kematian kembali meningkat dua minggu lagi

Indonesia meramalkan kes kematian di lima wilayah di negara itu bakal meningkat ke angka tertinggi dalam tempoh dua minggu akan datang, berdasarkan kemuncak gelombang penularan Covid-19 yang sedang berlaku.

Lima wilayah terbabit ialah Jakarta, Banten, Bali, Maluku dan Nusa Tenggara Barat, kata Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Budi Gunadi Sadikin.

“Kami membandingkan ini dengan negara lain di mana kes kematian biasanya 15 hingga 20 hari daripada kemuncak penularan. Jadi walaupun wilayah seperti Jakarta menunjukkan penurunan jumlah kes, Bali juga, tetapi kemuncak kes kematian akan berlaku dua minggu selepas itu,” katanya pada Selasa, 22 Februari. 2022.

Wilayah lain yang mengalami kemuncak penularan, tetapi masih menunjukkan tanda penurunan, adalah Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Papua, Sulawesi Utara, Lampung, Sulawesi Selatan, Sulawesi Utara, dan Sumatera Selatan.

Bagi mengelak peningkatan jumlah kematian, beliau mengingatkan orang ramai supaya melengkapkan dos vaksinasi mereka kerana katanya majoriti pesakit Covid-19 yang tidak terselamat adalah mereka yang mempunyai rekod vaksinasi yang tidak lengkap.

“Kami memerhatikan bahawa ramai daripada mereka yang tidak terselamat hanya diberi vaksin sekali dan mempunyai komorbiditi dan merupakan kumpulan yang lebih tua,” katanya.

Selain itu, Budi berkata 70 peratus rakyat Indonesia atau 189 juta penduduk telah divaksin dengan dos pertama.

Data Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) menunjukkan pada Isnin negara itu mencatat 34,418 kes baharu Covid-19, berbanding 48,484 pada Ahad, menjadikan kumulatif positif kepada 5,231,923 kes.

Menurut kementerian itu pada Isnin, jumlah kematian akibat Covid-19 di Indonesia meningkat sebanyak 176 kepada 146,541, manakala 39,929 lagi pesakit telah sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kepada 4,554,711.

Memandangkan kerajaan Indonesia sedang mempercepatkan program vaksinasi nasionalnya untuk membendung penularan virus itu, lebih 189.69 juta orang telah menerima dos pertama vaksin mereka, manakala lebih 140.42 juta telah lengkap divaksinasi. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR