Covid-19: Indonesia catat trend menurun

Penularan Covid-19 di Indonesia menunjukkan trend menurun dengan dalam tempoh 24 jam semalam, 12 Mac, negara itu mencatatkan 14,900 kes baharu – penurunan daripada 16,110 kes pada Jumaat.

Bagaimanapun, jumlah itu masih dianggap tinggi, kerana Indonesia sebelum ini pernah mencatatkan di bawah 1,000 kes sehari pada penghujung tahun lalu sehingga awal Januari 2022.

Jumlah kes Covid-19 di negara ini kini mencecah 5,878,910, sejak jangkitan pertama dilaporkan pada 2 Mac 2020.

Sementara itu, pasukan petugas mengumumkan seramai 33,733 pesakit telah sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sehingga hari ini kepada 5,369,579 orang.

Bagaimanapun, jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 juga masih tinggi. Dalam tempoh 24 jam semalam seramai 248 pesakit meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan kepada 151,951 kes.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu juga sedang memantau 14,812 kes disyaki dijangkiti Covid-19. Selain itu, 211,102 spesimen berkaitan virus itu telah diuji.

Kes Covid-19 di Indonesia mengalami trend meningkat pada awal tahun ini berikutan penularan varian Omicron yang pantas merebak. Dalam tempoh tiga bulan lalu, lonjakan harian tertinggi ialah 48,000 kes yang direkodkan pada 20 Februari 2022.

Pemerintah Indonesia juga telah mengetatkan peraturan Covid-19 untuk pelancong, terutama mereka yang tiba dari luar negara. Pengembara antarabangsa mesti melakukan kuarantin selama 10 hari, pada masa itu.

Susulan jumlah penularan Covid-19 yang semakin berkurangan, pemerintah Indonesia kini telah melonggarkan peraturan berkaitan protokol kesihatan.

Pada 8 Mac, Indonesia mengumumkan pembatalan ujian wajib PCR atau antigen untuk pengembara pengangkutan darat, laut dan udara jika mereka menerima vaksinasi primer yang lengkap.

Kerajaan juga menguji Bali sebagai pemula yang melaksanakan pelancongan tanpa kuarantin untuk pelawat asing. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR